Sunday, 15 June 2014

SENYUM TAK PERLU KATA APA-APA


Lain padang lain belalangnya
lain orang lain perjuangannya
lain pula cara fikirannya
malah lain pula akal penerimaannya

biarkan sahaja andaian pembaca
dengan daya imaginasi mereka
baru berkembang akal dan minda
tanpa perlu beria menyua

ada pelbagai cara bercerita
ada pelbagai episod berita
ada pelbagai maksud tercipta
ada beribu sketsa berwarta

rambut adakala sama warnanya
namun hati berlainan bahasa
bukan menyorok bicara dalam agenda
sekadar membuka minda pembaca

terkadang kita perlu menyorok di dalam semak
untuk melihat si ayam denak
memikat ayam hutan yang enak
dijadikan lauk masakan lemak

terkadang pula kita harus terbuka
dalam melihat umpan mengena
harus segera rapat mengikat kepala
agar habuan dapat dijadikan piala

namun bukan jahat maksud bercerita
hanya nasihat kepada yang empunya
memang mulut tempayan selalunya ternganga
selepas diguna tidak ditutup pula

biarkanlah apa orang nak kata
janji Allah tahu apa yang dibicara
kalau baik niat yang ada
maka baik juga kesudahannya.

Kalau susah hendak mencerna
jadikanlah hiburan semata-mata
kerana puisi ada nilai estetikanya
yang terpelihara maksud dicerita.

Dah lali dengan tohmahan manusia.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

No comments:

Post a Comment