koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Thursday, 28 February 2013
Tepuk dada tanya selera.
Pantai menjauh tertambak, dia tak nampak
longkang tertimbus, katanya "ambil air jirus je"
bukit belakang rumah semakin gondol buat-buat tak nampak
gunung yang jauh, nampak pula,
imbuhan diberi disebut-sebut, bagai siput sedut dinyonyot
tabungan menyusut, ditarah kaut,
... ke laut
Dari mana datangnya wang yang ditebas, kebas?
Senyum aje-le!
ss/spl/pm ... 28/02/2013.
Tinta Hati.
Kucoretkan tinta hati
di kelopak teratai di muara kasih
putih
berseri warnanya
sesuci luahan di kalbuku,
... berlagu.
Berlagu rindu
pilu
di kala malam kian larut beradu
simfoni kasih pilu syahdu
teratai di hatiku,
... bersatu.
Bersatu teratai di muara kasihku
sebagai saksi
luahan hasrat murni
mendakapmu
kasih,
... kuberseru.
Seruan tinta dari hatiku.
ss/spl/pm ... 28/02/2013.
HENTIKAN AIRMATA DEMI KENANGAN
Bisikmu....ini rahsia kita
biar dilambung bahagia
biar dihempas derita
kitakan tetap setia
walau tak dapat bersama
bahagianya kita
tak mampu untukku sorok senyuman
ah! susahnya berpisah dari angan
engkau selalu berpesan....
kawal perasaan
tapi...bagaimana bahagia ini inginku simpan
akhirnya kita tersedar sendiri
tak mungkin ada bahagia yang menanti
cinta kita, cinta empat segi
bahagianya menantimu
setianya mengekoriku
pergilah aku relakan
bawalah semua impian
kuseka airmata yang berguguran
semua ini tak mungkin kesampaian
hentikan airmata demi sebuah kenangan
~~danhayati~~
Cinta Di Muara Kasih.
Sayang dengarlah!
Bisikan hatiku bercanda
beriringan mesra
di muara rindu
berdua kita selamanya,
... cinta.
Sayang dengarlah!
Rinduku kini berbicara
hanyalah kamu
di hatiku
cinta ke akhir waktu,
... kasih.
Sayang dengarlah!
Kalbuku juga mula bersabda
sehari kehilanganmu
bagai berkurun lamanya
bersarang resah,
... rindu.
Sayang dengarkanlah!
Bicara sendu
di lewat malam keliru
engkau dan aku
bersatu,
... di mahligai peraduanku.
Aku milikmu.
ss/spl/pm ... 28/02/2013.
Wednesday, 27 February 2013
10pp: Bahagia.
Jambatan kulalui kian kukuh pegangannya, syukurku ya Allah...amin yaRabal'alamin.
ss/spl/pm ... 27/02/2013.
JALAN BAHAGIA BUKAN SATU
Dalam detik waktu yang melewati musim
kuhitung hari-hari lalu
sewaktu kita membilang huruf-huruf cinta
yang pernah kita lintasi
dalam tenang
dalam sukar
dan dalam airmata.
Kini hitunganku terhenti di angka terakhir
huruf-huruf cinta pun bertaburan
menghilang satu persatu
sepertimana hilangnya
akan segala kata dan janjimu
yang pernah kausuburkan
di sudut bibir berbisamu.
Setelah jemumu mula menyapa
alasan pun mula kaucipta
dan jarak antara kita pun kaubina
dengan helah dan kepura-puraanmu
untuk terus menyingkirkan aku
dari terus mengganggu hidupmu.
Aku tahu
engkau semakin bahagia bersamanya
setelah semuanya kaumiliki kembali
lalu kauusir aku dalam diam
dan terpamerlah sikapmu yang sebenar
kesombonganmu mula kauterjemahkan
dalam kata dan perbuatan yang cukup berbisa
membunuh semua rasa cinta
yang berdekad kupertahankan
demi sebuah cinta yang tiada duanya.
Dan kini aku pasti
dalam waktu-waktu begini
kautentunya sedang bergembira
dan ruang masa yang pernah kita punyai
telah kauberi padanya
untuk engkau dan dia bersama
mengadun kembali cinta
dalam gelora asmara.
Apa pun, aku masih di sini
tak akan kuhitung lagi hari-hari bersamamu
tak akan kucari juga huruf-huruf cinta kita
kerana semuanya telah kusingkirkan
sebagaimana kausingkirkan aku
dari hati dan ruang hidupmu.
Akan kulalui semula hari-hariku
biarpun bukan denganmu
kerana aku tahu
jalan bahagia bukan satu.
Qalam Bertinta
27022013
2221pm
Jambatan baru.
Hari ini
aku lalui jambatan baru
bertiang keluli - berlantaikan waja
mengharap ampuh, pengukuh
menyalut paterinya teguh
semoga tidak 'kan jatuh
ke dalam jurang,
... cemuh.
Jambatan baru ... kumasyhur.
ss/spl/pm ... 27/02/2013.
Pesona Rindu.
Engkaukah itu
berdiri di dalam kabus tepu
tangan melambai menggamitku
mengetuk pintu,
... atmaku.
Engkaukah itu
semakin menghilang dari mataku
berlari di dalam kabus kelabu
meninggalkan seribu belenggu,
... rohku.
Engkaukah itu
atau sekadar maya berilusi palsu
berkabut di hatiku
pesona,
... kerinduanku padamu.
ss/spl/pm ... 27/02/2013.
Tuesday, 26 February 2013
10pp: Lara.
... dan malam gelap melukah
kabut bermukah, tangisan pasrah
... sembilu resah.
ss/spl/pm ... 26/02/2013.
Di bangku hati.
Kembali lagi di bangku ini
berlainan suasana berlainan kisah direnungi
mencari kekuatan diri
mengharap sedikit ketenangan kembali
melenyapkan
barah yang berkurap,
... melingkari sunyi.
Namun sunyi ego sekali
mendakap tidak merelakan pergi
tidak mahu berkompromi
barah yang tadi seakan mahu pergi
dipanggil kembali
dirayu,
... agar terus berkucupan sepi.
Ahh! ... kesunyian,
semakin membarah di bangku hati.
ss/spl/pm ... 26/02/2013.
Monday, 25 February 2013
Kembalikanlah ketenanganku.
Wahai ombak badailah pantai rinduku
wahai laut hakislah pepasir dukaku
wahai bayu tamparlah kekulit laraku,
dan kembalikanlah
ketenangan,
... aku.
Aku perlukan ketenanganku itu.
ss/spl/pm ... 18/02/2013.
AKU TAK AKAN MENANGIS LAGI
Pernah kutangisi sebuah perpisahan
tika impian kubangunkan
setinggi langit harapan
memasang angan untuk bersama
meneroka waktu dan masa
juga mengolah cerita tentang kita
untuk kita penuhi
setiap helaian kitab cinta
yang kita jilidkan bersama kasih dan sayang
namun semuanya rebah
bersama leraian janjimu yang termungkir
lalu melontarkan aku ke laut duka
tenggelam ke dasar sengsara
dan cinta pun menjadi sandiwara nestapa.
Kini kudayung perahuku sendirian
biarpun sesekali sebak kurasa
namun aku harus kembali ke alam nyata
untuk semula menjadi aku
agar dapat kupadamkan
semua ingatan tentangmu
walau terpaksa kubohongi diri sendiri.
Pun akan kucuba
untuk tidak menangis lagi!... .
Qalam Bertinta
25022013
1925pm
Bukalah kamus dan belajar.
Banjaran gunung tegak sejajar
mentari menyelit sinarnya wajar
kalau tak paham silalah belajar
bagai si JUBO yang kurang ajar,
yang tersurat perlu disirat wajar.
ss/spl/pm ... 25/02/2013.
Antara jubah dan kot bertali leher.
Memakai jubah dikatakan ketinggalan zaman dan dipinjam dari yahudi yang sedang mabuk.
Memakai kot dan bertali leher pula dikatakan mengikut peredaran zaman...tip top katanya,
Sedangkan memakai jubah itu adalah mengikut sunnah Nabi SAW.
Memakai kot dan bertali leher mengikut sunnah siapa?...bukan ke itu mengikut cara yahudi nasrani.
Fikirlah ya!.
ss/spl/pm ... 25/02/2013. 0716am.
Samseng.
penyair samseng berakit-rakit
meniup seruling air liur melekit
menyalak bukit,
... bukit tak bingit.
ss/spl/pm ... 25/02/2013.
meniup seruling air liur melekit
menyalak bukit,
... bukit tak bingit.
ss/spl/pm ... 25/02/2013.
Jantung hatiku.
Ratna pakaja
tidak sekadar ratna mutu manikam
ratna pakajaku ratna walis
ratna terpilih
almukhalis tercelak di mata
tercelak di hati
sanubari terhias peribadi
almukhalis sejati.
ss/spl/pm ... 25/02/2013.
Kubuka Taman Di Hati.
Kubuka pintu di taman hati
menjemput masuk debunga wangi
membelai kasih cinta yang murni
bersatu hati kasih abadi.
Kutanam benih di tanah ini
mengharap datangnya debunga suci
tidak tercemar sang kumbang jati
rosak jambangan mekar tak jadi.
Namun kuakur ketentuan Ilahi
walau mendatang debunga dicemari
akan kuterima sepenuh hati
asalkan bukan,
... debunga masih dimiliki.
Rosak jambangan kerana diludahi.
ss/spl/pm ... 25/02/2013.
Sunday, 24 February 2013
Syair Si Jubo.
Pucuk muda mendongak langit
mendabik dada berjalan tumit
meninggi diri bagaikan bukit
dipetik orang terasa sakit,
biar melata daun yang tua
tidak bergoyang badai melanda
batangnya pegun padat tuasnya
semakin tua semakin berharga,
wahai JUBO anjing puaka
sudah-sudahlah jangan menghina
kalau tak tahu adab berbahasa
belajar dahulu katamkan ilmunya.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
Pantun Seindah Teratai.
Seindah teratai di tengah tasik,
merahnya mekar cantik berseri;
sahabat setia usik mengusik,
utuh semangat di sanubari.
Seindah teratai di kolam ikan,
bebas berenang si ikan kaloi;
saling hormati ikatan dikukuhkan,
tegur menegur ceria berbaloi.
Pantun seindah teratai aku hulurkan
buat peneman setia persahabatan.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
Seharum Lavender
seharum lavender menggugah rindu
hati gersang basah dipeluk wangi
lembar-lembar kelopakpun menebar
dalam temaram mimpi yang tak pernah usai
terbuai aroma harapan berpendar bintang
meninggalkan jejak pada batas seuncang janji
akan berputikkah cinta pada tangkai kesetiaan
meski dalam pasrah bersandarkan takdir
sayang tak akan tumbuh di perdunya
kerana angin sering menghantar fitnah
indahpun hanya berpuing di hujung mata.
Embi Estar - 24 Februari 2013
Cubitan sang gajah.
Bahasa dan bangsa menjadi taruhan
apabila gajah sama gajah memulakan cubitan
bertitik perebutan tampuk kekuasaan
apa yang ada semuanya menjadi umpanan
di bawah gaung menanti sapuan.
Bahasa dipermainkan sesuka perasaan.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
Kendiri kuberdiri.
Ya! ... tanganku kaugari
namun lidahku tidak terpasungi,
... bebas berlagu.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
MENJINJING RESAH WAKTU
Menjinjing resah waktu
tika layar silam mengetuk pintu rindu
dalam kelam yang sepertinya cuba mengait pesona
bulan pun seakan bergementaran
yang jauh ke ekor malam
namun dekat ke lidah pagi.
Bayang hitam itu aku
mengekori dalam duka yang sarat
bertatih sambil mengira angka-angka senja
di waktu siang terlentok dalam gendang asyik
dan diapit lintasan kenangan yang rajin
…malam pun tersenyum malas.
Qalam Bertinta
24022013
1409pm
Kebetulan.
Adakah satu kebetulan
akaun utamaku
tidak dapat aku masuki
diberitahu
ada kerja penambahbaikkan
sedang dilakukan.
Adakah satu kebetulan
Pusat Rujukan Persuratan Melayu
tidak dapat aku tembusi
diberitahu
pencapaian tidak dapat dilakukan
halaman itu 'server down'.
Adakah semuanya satu kebetulan
setelah seharian-kelmarin
aku mainkan isu peribahasa
yang diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya
oleh mereka yang kononnya
memperjuangkan maruah bangsa.
Adakah semua ini,
... hanya satu kebetulan.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
Kebebasan berkarya.
Dalam tangan bergari
mulut dipasungi,
... jemari kaki kini menari.
Kebebasan dihidui.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
Tiang yang usang.
Kukuhkah pegangan tiang
di kala kaki melangkah girang
ingin menyeberang titian usang
kerana di seberang,
... menantinya tersayang.
Tidakkah tiang turut bergoyang
di saat ribut datang bertandang
melanda titi nasibnya malang
reput mengundang,
... bubut bersarang.
Di bawahnya jurang memeluk tiang
menanti malang membuka ruang
bagai si helang berkuku parang
mata di belakang,
... tajam memandang.
Tiang yang usang menghidangkan peluang.
ss/spl/pm ... 24/02/2013.
Saturday, 23 February 2013
Subuh sunyi.
Kulayarkan bahtera sepi
di subuh sunyi
tatkala langit bersatu hati
membawa cahaya melintasi.
Di subuh sunyi
kanvasku ditumpahi
diiringi
tangisan hati.
ss/spl/pm ... 23/02/2013.
Fahami Peribahasa Kita.
1. Apabila aku mengatakan 'BODOH MACAM LEMBU' adakah aku mengatakan seseorang itu 'LEMBU' atau lebih tepat lagi 'HAIWAN',
... bukaklah kamus!
2. Apabila aku mengatakan 'NAK MEMIKAT ANAK MESTILAH PIKAT MAK DIA DAHULU'...adakah aku maksudkan nak kahwin dengan emaknya?
...tersenyum simpul makcik ya!
3. Apabila aku mengatakan 'TAK LARI GUNUNG DIKEJAR' adakah aku maksudkan yang aku tengah mengejar gunung?
...mengah aku kalau macam tu, tak terkejor be!
4. Apabila aku mengatakan 'ISTERI KALAU NAK PIKAT HATI SUAMI...KENALAH JAGA TEMBOLOK SUAMI'...adakah aku maksudkan si isteri harus bedah suami dia dan keluarkan tembolok dari dalam badan suami?
...payah tu, nak kena cari calon isteri yang ada PHD...hik3x.
5. Kalau aku katakan 'HIDUNG TAK MANCUNG PIPI TERSORONG-SORONG...adakah aku maksudkan kena cari orang yang hidungnya mancung dan sorongkan pipi pada dia?
...adesssss, kena penampar nanti adalah.
6. Apabila aku mengatakan 'Bangkai gajah busuk di hutan hendak ditanam, pekung di kaki sendiri dibiarkan meroyak'
atau
'Bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru?'
adakah aku bermaksud ada bangkai gajah yang bergelimpangan di atas tanah?
...pahamkan maksudnya.
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=peribahasa&d=11
SEPI SEBUAH RUMAH TUA
Rumah tua itu sepi
lalu mendamba rindu
jendelanya tertutup rapat
sepertinya mengurung rindu
yang telah lama hilang.
Warganya seakan terlupa
jalan dan lorong pulang
kerana waktu bagi mereka
tidak pernah mencukupi
untuk menguak daun pintunya
agar rindu lerai dalam keriuhan.
Tangisan rumah tua itu
tenggelam dalam sunyi
ketika tiang-tiangnya semakin rapuh
gelegarnya juga menggeletar
menanti rebah menyembah.
Biarpun sarat dengan rindu
rumah tua itu kian sepi.
Qalam Bertinta
21022013
2357pm
Friday, 22 February 2013
Yang aku surat dan yang aku siratkan.
Yang aku suratkan
dirimu seperti katak di bawah tempurung
tidak bermakna aku mengatakan dirimu itu
seekor katak,
yang amat jelas bukan itu maksud bidalanku
untuk menyamakan dirimu dengan seekor haiwan
kerana aku juga seorang manusia.
Tapi yang aku siratkan
dan kumaksudkan di sebalik kata-kata itu
adalah perumpamaannya
bahawa dirimu amat picik pengetahuannya
tidak luas dan tidak menjauh pandangan akalmu
sempit di otak kamu
dan hanya berfikir di dalam kontek kekotakkan.
Janganlah kauhinakan diriku dengan mengatakan aku sebegitu.
ss/spl/pm ... 22/02/2013.
Subscribe to:
Posts (Atom)