koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu.
Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
saat ketenangan mendampingi kebahagiaan lantas menghadirkan diri gelak dan tawa hadir bertamu seakan melupai kisah yang lalu.
Mengapa kini cuba mengganggui saat ketenangan menghadirkan diri seakan kaumencemburui kebahagiaan yang telah aku kecapi.
Usah kauragut ketenangan itu hanya menambah luka di hati usah jua kaumengungkiti sejarah lama yang telah dilewati biarlah ketenangan itu terus kukecapi.
Meriah tempahan si biskut raya si anak cina berbalang tempahannya inilah nama, raya satu Malaysia. Beratnya mata susah nak buka terlebih makan ketika berbuka hai, dah mula resmi si sawa. Bergema sudah azan di surau terdengar syahdu walau pun garau malam duapuluh, Al-Qadar digagau. Riang ria moreh di surau pakcik dan makcik bersenda gurau anak teruna gatal dan angau. Sazalee Sulaiman ... 31/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
...kini zaman kecanggihan ICT, maklumat di hujung jari, pelbagai gadjet dan peranti dimiliki, dari pemimpin tertinggi ke pelajar yang belum boleh berdikari, semua memiliki dalam kocek sendiri, namun fenomena ini mungkin mengundang tragedi, murid mengenepi fokus bila mengaji, asyik teruja dengan peranti 3G dek terkena sindrom 3G: gedik, gelinyau, gatal...
Tepung pelita dan otak-otak juadah berbuka aku melantak asalkan ada jangankan tidak berhenti sebelum tersedak. Sazalee Sulaiman ... 31/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Duapuluh dua, duapuluh tiga duapuluh empat, duapuluh lima duapuluh enam, duapuluh tujuh duapuluh lapan, duapuluh sembilan ... ada lapan hari lagi Ramadan berselimut di hati alangkah rugi, seandainya pengakhiran Ramadan ini, disia-siakan dan belaian firdaus-Nya dibiarkan berlalu, sebegitu sahaja dengan kesibukan persiapan untuk menyambut lebaran. Sedihnya hati mungkinkah akan ketemu lagi Ramadan di tahun hadapan. Sazalee Sulaiman ... 31/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Tinta ilham tersekat di pena permulaannya basah di pertengahannya kering sekering-keringnya bagaikan nota lagu yang aku tulis sumbangnya irama di pembukaan cantik di korusnya hancur dan akhirnya nota kugumpal-gumpalkan dan aku buangkannya ke dalam tong sampah di hujung jarinya kakiku tamat di situ. Kupadam lampu dan aku layan kembali rewanganku. Sazalee Sulaiman ... 31/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Menyusuri lorong lamun yang menyapa fikirku ada rentetan cerita yang masih ketinggalan lalu mengocak kolam rasa yang telah cuba kupujuk agar tenang menjalari hidup demi satu kehilangan tika cinta masih kudodoikan dalam buaian harap …dan di pinggir kenangan itu aku yang cuba mencari kembali akan sebaris janji dalam deretan kata-kata yang pernah dilafazkan untuk aku memahami akan erti satu kelukaan.
Dodoian ini masih terus kulagukan kerana di situ sisa harapku masih ada biarpun cerita itu tidak kuhabiskan aku hanya ingin kembali seperti dulu mengenang…sendiri dan sepi moga kelukaan ini akan bisa menyembuh dan untuk hari esok akan ada ruang buat aku menoktahkan cerita ini untuk aku menemukan dengan sebuah jawapan biarpun mungkin perpisahan akan menjadi ayat terakhir dalam ceritaku.
Kupandang cermin kulihat hakikat diri sendiri tidak segagah sepuluh tahun dahulu penuh uban penuh juga kedut di wajah walau di hati segar terasa muda namun hakikat tetap hakikat usia telah menjamah diri memakan sendi. Kuterima hakikat ini. Sazalee Sulaiman ... 30/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Kucampakkan kata di kedalaman air namun buih-buihnya melontarkan kembali kepadaku bergetar, gemanya menyanggah lamun menempelak celoreng diriku di situ. Lantas kubenamkan kepalaku di dalam air membasahkan ubun-ubun yang semakin gering kering mengutip kembali celoreng kata-kataku di sana. Nah! ... gemanya telah menghilang tiada lagi celoreng di muka. Sazalee Sulaiman ... 30/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Aku, aku hanya seorang lelaki tidak mampu menolak takdir yang lahir terzahir. Di tabir, bayu menggoncang di banir, pepohon bergoyangan di tafsir, aku kesunyian tahrir! ... . Hanyut dalam gelora godaan. Sazalee Sulaiman ... 30/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
hati ini menangis.. tiada titis-titisnya.. tiada juga airmatanya.. terselindung di sebalik senyum.. di sebalik tawa, ada duka tersembunyi.. tabahlah dikau duhai hati...
Bukan hanya manusia yang terkurung di penjara tapi bebas melata di mana-mana walau jasadnya di rumah kaca atau atau di tengah gegak gegar pesta hatinya terantai belitan belati jelingan jemarinya terpasong di perdu kecurigaan jiwanya kelemasan dalam dedebu persoalan Banduan lepas bebas ini terhukum tanpa saksi mahkamah terbuka di taman maya berhakimkan tukul kuasa prasangka merujuk akta prabawa tidak percaya.
Wajah itu ada misteri terselindung di sebalik pandangannya ada senyum tapi sukar untuk kutafsir ada ungkapan namun banyak kiasannya ada renungan
…pandanganku tewas.
Wajah itu wajah perempuanku solekannya cuma wudhu serinya cuma senyum ikhlas pada redup tatapannya bicaranya sesejuk embun dinihari dalam getaran suaranya ada makna ada cinta ada hikmah
Bermain pelita di malam hari sorak gembira di malam sunyi Al-Qadar menanti untuk dicari. Anak-anak riang gembira orang tua di surau sana pencarian Al-Qadar sudah bermula. Sungguh riang hati musafir melangsai tugas sebelum berakhir jelma Al-Qadar tidak dimungkir. Cantik sungguh anak Pak Abu berkebaya songket si merah jambu salam Al-Qadar ikhlas dariku. Sazalee Sulaiman ... 29/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Senyumku semakin tawar hambar di birai malam menyentuh kamar beralas akhbar ... mendakap mimbar. Kupetik gitar, memberi suar. Sazalee Sulaiman ... 29/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Rojak mi si rojak buah makannya pasti enak berkuah syukurku Allah rezeki-Mu melimpah-ruah. Siang terang malam gelita girang bebudak bermain pelita aroma raya di dapur bonda. Hai, indahnya rasa suasana yang dipesan dah pun tiba budak-budaknya sahaja ke mana. Lenggang-lenggok langkah cik Ainon ke kanan ke kiri pinggul dihayun sayang sedikit kurang berinci kain ditenun. Sazalee Sulaiman ... 28/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
pada lafaznya yang di tampuk kuasa menjunjung sunnah bicara tentang penyatuan ummah bersungguhkah mereka? belajar dari sejarah agama penyatuan atas nama persaudaraan yang dibawa Junjungan Besar S.A.W
tapi mengapa? rakyat makin berbeza tiada warna-warna senada kian berpuak menegak agenda menjauh dari ajaran agama berbalah demi kuasa tiada usaha membulat suara...
...bagai bintang yang berkecai jatuh dari dada langit, sekeping hati yang hancur tak mungkin bercantum kembali, mengapa dibiar ia retak, pecah dan berderai, sedang kamu tak punya hati kering, untuk berpaling dan pergi tanpa menoleh lagi, kenapa dengan mudah menyakiti sekeping hati yang setia mencintai, dalam susah dalam senang menanti...
Kutanam perdu harap pada sebidang janji yang engkau hamparkan dalam mengira detik-detik waktu yang semakin meninggalkan ada harapan yang kusandarkan pada setiap lontaran kata-katamu kukutip setiap huruf yang berserakan tika musim meluruhkan asa dalam kemarau hati yang gersang, kering tanpa bicara setiap katamu mengundang maksud yang cuba kurungkaikan agar perdu harap menjadi rimbunan redup menaungi setiap nuasa untuk kita sama-sama ukirkan kata pada teduhan janji dan mencipta bening biarpun tanpa suara...sunyi kerana di situ ada pengertian yang cuba kusiratkan dalam memaknai pun ada rasa yang berselindung dalam tanya satu persoalan pada titik terakhir sebuah cerita bisu.
...sederas manapun air mata mengalir dek sebak akan sebuah kehilangan, ia tak bisa mengembalikan, jasad itu terbujur kaku bisu menunggu disemadikan, kesat air mata itu dari gugur, belajar menerima, reda dengan ketentuan, pujuk hati menerima, bahawa Tuhan lebih menyayangi, utuskan doa, semoga perpisahan yang ditadirkan, perpisahan yang akan dikenang selamanya...
Kidung malam bersyair sepi melawas rindu di dalam hati berkaca biru wardah sunyi nyilu dihambat toresan belati. Syair sepi berlagu rindu memaku pilu melara sayu dalam kelat mataku layu teraba jalan menuju kamarku. Kamarku sepi tiada berteman ingin kuoles pipi rupawan bersyair sayu di telinga kucupan membawa mimpi sepanjang peraduan. Aduhai sayang si buah kepayang semakin gersang semakin terbayang dalam terhuyung aku melayang di kamar usang syair berdendang. Mengharap ihsan insan tersayang. Sazalee Sulaiman ... 28/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Rimbunnya hutan sungai melimpah aur dan tebing tetap dilangkah hati monyet tetap dilapah. Copak-capik berjalan pincang harimau dan sawa tinggal di belakang arang berbara, rendang terhidang. Cakap siang telinga dipapar cakap malam telinga dipagar di tumit semut belebas bergegar. Tangkai lembut tidak bercangkuk tidak menegak terlentuk-lentuk pandai bergebang terangguk-angguk. Sazalee Sulaiman ... 27/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Darahku mengalir pada setiap rekahan dan lowong-lowong kosong tanah ini mengairi sebuah rasa setia dalam basahan yang tidak pernah lewat sesaat pun tika dentingnya yang bergemuruh membuncah semangat lalu aku berdiri dengan keyakinan yang tak pernah luntur untuk terus mempertahankan tanah ini dari dinodai agar kesuciannya akan dapat kukhabarkan pada anak cucuku bahawa tanah ini tidak pernah tercemar dan ternoda kerana ada wira-wira bangsa yang sanggup meletakkan nyawa sebagai cagaran dan taruhan tanpa pernah kenal arti gentar dan tanpa pernah kenal arti undur.
Tanahku andai aku terlena dalam minit yang panjang engkau bangunkanlah aku demi satu janji yang telah kupadukan jangan biarkan lenaku mencanai angkara pembangsat onar kerana jika seinci pun tanah ini ditapaki oleh para pembangsat akan kuperangi mereka sehingga tujuh keturunannya diulit mimpi ngeri biar mereka ingat dan mengingatkan kepada anak cucu mereka bahawa tanah ini punya darah dan punya nyawa pada setiap ketuanannya tanah ini juga punya semangat pada setiap butiran pasir dan ketulan batunya kerana tanah ini tanah berdaulat tanah ini tanah beradat dan tanah ini juga punya sifat.
...hujan berhenti menitis, awan gemawan enggan mengelabu, angin pegun dan hanya memandang, tanah-tanah jadi gersang, rerumput kekuningan, kering kehausan, layu tunduk menanti ehsan, alam telah menyebal, merajuk pada rakusnya insan, menelanjang kehijauan, memperkosa kedamaian, meragut keseimbangan, tanpa sedikit pun rasa bersalah, hanya mementingkan keperluan sendiri, sedang kemakmuran bersama, tergadai maruahnya...
Dalam meladeni akan rasa kelukaan yang mencalar episod sebuah kisah kurentaskan pandanganku pada satu pandangan suri agar dapat kutembusi dan kucari akan erti sebuah kejujuran yang sering menjadi pertaruhan dalam menyisipkan kesetiaan pada warna-warna satu hubungan.
Luka ini amat hebat pedihnya membuatkan aku masih terlantar di atas tikar kecewa biar kucuba mengubatinya namun kesembuhannya masih ingkar kerana kelukaan ini bukan atas satu kehilangan tetapi kerana satu dusta yang telah mencarik akan segala rasa percayaku yang ada.
Dalam lena dalam jaganya diriku ini hanya Allah, Tuhan untukku tiada dua, tiga hanya Allah Yang Satu. Sazalee Sulaiman ... 27/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
....jika kepentingan diri melebihi dari kepentingan bersama, natijahnya adalah kehancuran kelompok, lebih besar lagi kehancuran sebuah institusi mahupun negara, ia mampu membunuh saki baki rasa kekitaan, nilai kepercayaan akan terkubur, rasa tidak puas hati akan bergelojak membangkit api kemarahan, kacau bilau bakal tercetus, dan meletupnya tuntutan keadilan, ikhlaslah dalam perkhidmatan...
Terkenang daku, wajah ibu di kota... yang mengharapkan kepulangan kepulangan anaknya di perantauan. Aku sedari... aku sedia mengerti kerinduanmu, wahai ibu.
Nantikan dan doakan kepulanganku... anakmu...di kejauhan ini agar selamat dan sejahtera. Walau pulangku tak lama... cukup melepaskan kerinduan yang ada.
...bicara tentang cinta, suatu isu sejagat, anugerah terindah, satu naluri rasa yang menjalar dalam jiwa tanpa paksa, pun mungkin tanpa sedar, mencintai itu satu nikmat, tak tergambar, hanya yang menghadapi mampu merasai, kepada siapa cinta diberi, sedalam mana cinta ditanam, seluas mana cinta ditebar, hanya hati pemberi cinta ada jawapannya, cinta bukanlah barang mainan yang boleh dijual beli, ia bukan boleh dipaksa, ia hadir bila ada rasa kasih dan rasa menyayangi, bibit-bibit rindu yang melata jadi petanda cinta mula berputik, berkembang meniti masa, andai dibajai dengan kejujuran dan kesetiaan, cinta akan berada di landasan yang benar, terjaga rapi lagi suci...
Dan malam pun berperi, bertanya ke manakah gerangannya rembulan di kala siang mulai gelita dan cahayanya mengisut menidurkan mentari di peraduan ombak di senja menanti sunyi membelah merah di dadanya sepi mewarnakan kidung di hati ... kian berdarah. Aku menggelengkan kepala. Sazalee Sulaiman ... 27/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
Malam seribu bulan teguh berdiri tidak tergapai dek jari hanya merasai kasihnya Ilahi, aku hamba-Nya bersaksi. Ayam dan itik tinggalkan reban lembu dan kambing menyorok di hutan ketupat berendangkan lodeh di pinggan. Gegak gempita di waktu malam bebudak kampung bermain meriam kesian, sampai terkangkang imam. Pelita buluh si pelita ayam terang benderang seluruh alam orang tua berhati suram. Sazalee Sulaiman ... 26/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
menjelang 56 tahun kemerdekaan dengan ledakan media elektronik maklumat merebak pantas pelbagai cerita disebar dengan berita di hujung jari di mana status integrasi?
pelbagai provokasi meniup sentimen perkauman menyemarak bara kebencian membahangkan api persengketaan yang membakar kesepaduan bisa menghancur leburkan keharmonian
barah integrasi andai tidak dicegahi natijahnya sungguh ngeri seluruh dunia bakal menyaksi runtuhnya sistem demokrasi dwi dewan raja berperlembagaan terkebumi
hargai nilai integrasi sebelum ia jadi barah membawa mati.
Cuba...dan terus mencuba... walau ada kepayahan walau ada keperitan harus jua dilalui.
Mencari kekuatan... saat hati dan perasaan berbalah. Andai diikutkan kata hati, mati ikut rasa, binasa ikut perasaan, merana badan.
Dalam kesamaran... mencari kekuatan... sujud pada-MU mohon keampunan mohon keredaan mohon kekuatan mohon ketenangan hati dan perasaan moga menemui jalan perdamaian.
Kuwasitkan puisiku ini di atas sekeping tanah bernama kanvas agar terlakar segala keindahan tersurat dan tersirat berwasiat, dan kuharapkan wasit ini menjadi telangkai mendamaikan hatiku, bahawa puisi-puisi terlahir dari ilhamku mindaku dan benakku yang basah bukanlah sekadar selejang puisi resah sampah. Kunoktahkan wasit. Sazalee Sulaiman ... 26/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan.
ada ketika terasa rapuh menjerat diri goyah ditiup angin sesak rasa dihimpit perasaan melayang entah ke mana...
mencari diri yang hilang ada secebis kekuatan yang harus dipertahankan meneruskan perjalanan adakala tersungkur, rebah dan bangkit kembali mengorak langkah dalam kepayahan...
Mana mungkin sendiri melingkungi diri tanpa mengait dan dikait tetap bergantung dan tergantung saling bersatu mengharap restu wangian puisi kita hidu kemerduan bait syahdu meresap madah kita berkalam kata dalam keindahan mesra kedapatan.
Kita tidak dapat bernyanyi bila lagu tidak berbunyi dalam nada dan irama melirik bait di melodi andai mulut terdiam dapatkah bisu membungkam lalu sendu rindu memendam.
Bila bersendirian tanpa sesiapa kelu lidah buat bicara andai membeku segala rasa akan terhapuslah segenap cita.
Tak akan kupedulikan pada rasa yang singgah biar kelopak hati membusung nanah nakku biarkan jemari ini terus menukang madah hingga terbena sebuah gedung puisi-puisi sampah biarkanlah... Sampah ini hakku,milikku, kecintaanku tak kupinta walau sebutir melukut berdebu aku tak mengemis walau sezarah sanjong puji timbunan sampah ini hakku yang hakiki reput busuknya di hidungku sendiri biarlah...
Haiku adalah bentuk puisi tentang musim datangnya dari kesusasteraan Jepun yang terbentuk dari pengamatan mereka tentang musim-musim di sana. Ia harus mempunyai KIGO(kata bermusim), KIREJI(imej yang dilihat bukan dirasai) dan juga metafora yang mengukuhkan lagi musim yang dilalui.
Haiku bukan puisi pendek tentang cinta ataupun kasih sayang...lebih tepat mendewa-dewikan manusia...kerana itulah haiku bukan berlandaskan kepada persona...kalau ada persona di dalamnya ia adalah puisi pendek bukan haiku.
Ok...kita lihat pula pembinaan haiku di Malaysia.
Di Malaysia tidak banyak musimnya...oleh itu senang untuk kita kaitkan kata bermusim tentang musim-musim di Malaysia...sebagai contohnya:
KIGO (KATA BERMUSIM).
1. SAWAH MENGUNING - kigo tentang musim menuai padi 2. SAWAH MENGHIJAU - kigo tentang musim menanam padi 3. KATAK BERBUNYI - kigo tentang musim hujan 4. CAMAR YANG PULANG - kigo tentang laut bergelora dan sebagainya.
Dalam perayaan juga ada kigonya. Seumpama:
1. TAKBIR BERGEMA - kigo tentang hari raya puasa 2. LEMBU DI KANDANG - kigo tentang hari raya haji. 3. TARIAN SINGA - kigo tentang tahun baru cina 4. PESTA CAHAYA - kigo tentang deepavali dan sebagainya.
Dalam Islam juga ada kigonya. Contoh:
1. MAULIDULRASUL - kigo tentang hari kelahiran Nabi Muhamad SAW 2. Nuzul AL-QURAN - kigo tentang bulan Ramadan dan sebagainya.
Kigo tidak boleh sewenang-wenangnya dikaitkan tentang kehidupan kita...ia adalah kata-kata bermusim.
KIREJI (IMEJ).
Pembentukan imej haruslah tentang apa yang kita lihat(suasana) bukan tentang apa yang kita rasai...kalau terbabit perasaan di situ ia telah berbentuk PERSONAFIKASI dan tidak sesuai dijadikan sebuah HAIKU.
METAFORA (KATA PERLAMBANGAN)
Pembentukan metafora haruslah berlarian tentang apa yang kita tulis di awal pembentukan sesebuah haiku tetapi mempunyai makna tentang apa yang kita alami ketika itu...ia tidak boleh dicipta selari untuk mengelakkan HAIKU kita dibaca sebaris ayat.
Kita mula membina sebuah HAIKU.
Format haiku di Malaysia adalah 5/7/5 sukukata dalam setiap barisannya...dalam satu perenggan ada 3 barisan...di situlah letaknya sukukata yang akan kita bina. Contohnya:
1. Barisan pertama: 5 sukukata, membentuk KIGO sesebuah haiku. 2. Barisan kedua: 7 sukukata, membentuk KIREJI(IMEJ) sesebuah haiku. 3. Barisan ketiga: 5 sukukata, membentuk METAFORA(KATA PERLAMBANGAN) sesebuah haiku.
Contoh haiku:
camar yang pulang (KIGO) lereng bukit yang tinggi (KIREJI/IMEJ yang dilihat) maruah sarang (METAFORA)
kita lihat sukukatanya
ca mar yang pu lang (5 sukukata) le reng bu kit yang ting gi (7 sukukata) ma ru ah sa rang (5 sukukata)
Diharapkan jelas apa yang saya kongsikan di sini serba ringkas tentang pembinaan sesebuah haiku. Dan diharapkan juga sebelum kita membina HAIKU ini haruslah dicari dahulu KIGOnya yang bersesuaian tentang musim yang ingin kita ciptakan dan imej haruslah apa yang kita lihat bukan yang kita rasai bukan main suka-suka sahaja menciptanya tanpa kata bermusim.
INGAT!! HAIKU ADALAH PUISI TENTANG SESEBUAH MUSIM.
Sekian terima kasih. Sazalee Sulaiman ... 25/07/2013 Nilai, Negeri Sembilan. IMEJ Haiku adalah dua yang berlainan di senario yang sama... baris ke 3 pula adalah "pantulan" iaitu CITRA yang menceritakan IMEJ dibaris 1 dan 2. Maka di sinilah KIREJI terlaksana.. metafora hanyalah dari sudut bahasa ... kerana KIREJI di baris ketiga adalah makna bahasa jepun iaitu "ayat pemotong" terjemahan dari bahasa jepun. ayat pemotong ini juga ditafsirkan kepada bahasa melayu adalah istilahnya metafora (kerana tiada istilah tepat) maka ia adalah metafor yang fizikal bukan META (maya) statement-nya "kireji is not metaphoriaccly using metaphor"....dengan yang lagi mudah faham... elakkan menggunakan "KIASAN" dibaris ke 3 perkongsian dari Angah Arie