Thursday, 22 May 2014

HISTERIA


Malam Jumaat
ada mata memerhati
merenung tepat; tajam
satu persatu
mencari titik lemah
pada urat nadi
pada saraf insan
kotor
tidak suci jasmani
rohani
untuk diserap
untuk diresap
merasuk
jiwa.

"AHHH! AKU TAK GEMAR
KAMU HARUS GENTAR
MANUSIA-MANUSIA MUNGKAR
DI SUDUT ENGKAR"

"WALAU AKU BUKAN ISLAM
SEBAGAI JIN AKU TIDAK AKAN BERDIAM
KAMU SEMUA ANAK HARAM
MEROSAKKAN ALAM"

Terkedu ... ,
gema suara berhantu
dengan nada serak si puru
menghemburkan kata-kata bertalu
memaki hamun padu
memperlihatkan kemungkaran berlaku
gadis terlepas dari kandang ibu
mengangkang di sudut nafsu
berkesedudukan tak malu
di ranjang baldu
berseluar pendek selulit dijamu
mata-mata kuyu
tiada rasa bersalah di kalbu
ditayang pula susuk susu.

"KELUAR KAU JIN KEPARAT
SEBELUM ENGKAU AKU PERHAMBAT
WALAUPUN MEREKA MELAKUKAN MAKSIAT
ITU BUKANNYA SYARAT
UNTUK ENGKAU MENDEKAT
KERANA ALLAH YANG MAHA BERKUDRAT"

"AHHH! AKU TAK MAHU KELUAR
BIARKAN AKU BERAKAR
BIAR NANAR
SETELAH DIA BERONAR"

Malam semakin lanjut
pertempuran terus dihenjut
hilai ketawa semakin bersahut
enam anak gadis bergelut
di lantai terkemut
merungut-bersungut-sungut
jin celaka masih berpaut
ustaz berdahi kerut
janggut dilurut.

Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
22/05/2014
22.30pm.

p/s: Baca jangan terlalu khusyuk ya takut ada yang mengikut.

No comments:

Post a Comment