koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Wednesday, 28 May 2014
ANGGUK-ANGGUK GELENG-GELENG
Aku menulis apa yang aku rasa
aku menulis di atas dinding muka-bukuku sahaja
aku menulis berita yang benar sentiasa
aku menulis kritikan yang membina
aku menulis berlandaskan minda yang merdeka
aku menulis bukan membabi buta.
Aku tidak menulis di dinding muka-buku sesiapa
aku tidak menulis untuk mengganggu status tersedia
aku tidak menulis berita yang aku rasa tiada sahihnya
aku tidak menulis untuk mempengaruhi jiwa
aku tidak menulis untuk menghasut anak bangsa
aku tidak menulis berita propaganda.
Dan yang penting
aku tidak mengganggu sesiapa
dalam tulisan yang aku tinta
sekiranya ada yang terasa
aku tak dapat berbuat apa-apa
ya!
Tepuk dada tanyalah kemahuannya
pintu pilihan sentiasa terbuka.
Nasihatku ... ,
usah tenggelam dalam selautan pujian semata-mata
pandanglah kritikan membina bukan menjatuhkan jiwa,
usah berdebat akan benda yang sia-sia
kalau mahu juga berdebat pastikan ada ilmunya,
usah menganggukkan kepala kepada kemungkaran di hadapan mata
agar terjana minda berwibawa generasi merdeka
dan berwacana tidak terikat oleh sesiapa.
Jadilah generasi berjati diri bukan lembu diikat hidungnya
negara kita negara demokrasi, negara berdaulat dan merdeka
seandainya kata-kata disekat tidak boleh dikritik caranya
adakah itu kemerdekaan namanya?
Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
27/05/2014
21.30pm.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment