koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Wednesday, 25 September 2013
SIMPANG ITU
Simpang itu telah lama ada
dulu belukar di kiri kanannya
lampunya pun cuma dari andang daun kelapa kering
nyamuk dan agas setiap malam kekenyangan darah
suara-suara semangat berkemundang di situ
dengusan dan keluhan silih berganti
yang marahnya memanah akal bangun menghentak penumbuk dan berlalu
yang sabar terus menunggu, pendapat dan hujahan harus ditebarkan lagi
keputusan mesti ada, bukan untuk sesiapa tetapi untuk semua.
Dan sekarang pun simpang itu masih ada
cuma belukar telah digantikan dengan jalan berturap
andang kelapa kering telah digantikan dengan tiang lampu letrik
nyamuk dan agas pun sudah lupa akan siang dan malamnya
yang ada cuma suara-suara itu, masih bergema dan bersemangat
namun gema dan semangatnya sudah berubah nada
nada yang tidak lagi bercerita tentang negara
juga tidak ada lagi cerita tentang masyarakat
apa lagi tentang masjid, tentang amal makruf nahi mungkar.
Yang ada hanyalah anak-anak muda
yang bercerita tentang kehebatan motosikal masing-masing
yang bercerita tentang ice, syabu dan bermacam jenis lagi
bercerita tentang berapa orang bohsia yang telah mereka bawa ke ranjang
nada mereka juga bersemangat hinggakan syaitan pun turut hadir
untuk memberi sokongan dan menyemarakkan lagi semangat pada mereka.
Dunia ini pantas berubah, sepantas perubahan generasi demi generasi
dan untuk abad yang akan datang, generasi ini akan terus berubah
mungkin lebih teruk atau mungkin juga lebih bagus
siapa tahu?
kita juga tidak akan tahu kerana waktu itu
mungkin nama kita juga sudah tidak wujud lagi.
Qalam Bertinta
Klang
24092013
1427pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment