koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Sunday, 29 September 2013
SYAIR KASIH SUAMI ISTERI
Dengarlah tuan ceriteraku ini,
Syair pesanan kehidupan ini,
Suami isteri hendak harmoni,
Aman dan damai laki dan bini.
Suami isteri saling memahami,
Pahit manis sama mengalami,
Cinta nan suci kental bersemi,
Hati dan nurani sama diselami.
Hidup sebumbung suami isteri,
Saling membenci usah menari,
Mesra hubungan setiaplah hari,
Tangan bahagia jangan bergari.
Hidup bersatu setianya di sisi,
Dililit kelukaan sama ditangisi,
Sehati sejiwa sesama berpaksi,
Detik bahagia sama berkongsi.
Hidup berkeluarga cari rezeki,
Harta sepencarian sama miliki,
Jangan diungkit jangan dijaki,
Dana keluarga arkiteknya laki.
Cahaya mata teramat dinanti,
Tanda bukti percintaan sejati,
Ragam anak sama dimengerti,
Di malam hari bergilir berganti.
Melentur anak ambillah peduli,
Suami isteri berperanan sekali,
Memantak nasihat biarlah lali,
Buruk sahsiahnya akan diperli.
Rumahku syurgaku bisa terjadi,
Cinta bahagia utuh bersemadi,
Kasih nan jernih luhur dimandi,
Membelai asmara jangan melidi.
Mahligai cinta hingga ke mati,
Kasih sayang tentulah mesti,
Lidah tergigit sesekali gerenti,
Suami dan isteri sabarlah hati.
Pergi melancong bisa sesekali,
Terhibur hati tidak dapat dibeli,
Cinta muram berubah kembali,
Dirawit bahagia menjadi mangli.
Wahai isteriku kulafazkan janji,
Kasihku setia berpagarnya jeriji,
Rindu di kalbuku bukan bergaji,
Damak cintaku setajamnya taji.
Tamat sudah syair yang kuberi,
Alkisah cerita si suami dan isteri,
Sebagai panduan seandai selari,
Jika tak berkenan daku susun jari.
Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
The Orient Star Resort,
Lumut, Perak.
29.9.2013 (Ahad)
Jam 8.00 pagi.
*Inilah “buah tangan” yang kubawa balik sempena Hari Keluarga Sek Men Sri Tapah, Perak (Tempat mengajar isteri tersayang, Pn Mahani Mokhtar) pada 28 - 29 Sept 2013. Terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment