koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Tuesday, 6 May 2014
BATAS HIJAU HANYA ANGANAN
Ingin aku berlari
di batas hijau di hujung kampung
menyentuh bahang hangat mentari
di jari, menyapa kekulit mati
menyinari fajar yang telah lama pergi
di ufuk sepi.
Ingin aku menikmati
udara nyaman menampar wajah
agar hilang segala resah
yang telah lama menjadi barah
di ubun gundah
resah.
Ingin aku melakari
keindahan kampung berbukit dan kali
sambil mengecapi panorama indah
saujana mata memandang
kanvasnya tiada penghujung
sempadan bersambung.
Ingin aku merasai
erti rindu yang menggebu kasih
pada ayah-bonda dan kampung halaman
menunggu anak yang lama berhijrah
mencari pengalaman hidup sendiri
pulangnya dinanti.
Ingin aku merasai
nikmatnya anak kampung yang punya tinggalan
bisa pulang bila diterajang kota kosmopolitan
yang mencabar dan sempit
mencari makan menggalas perut, perit
pulangnya buncit, mengenyit.
Namun ... ,
aku hanya anak bandar
tiada keindahan hanya bangunan agah
penuh nista, noda dan ludah
di lembah caci-maki mainan rencah
anak bandar yang pasrah.
Kampungku hanyalah kampung setinggan
bila-bila masa runtuh menyembah tanah
diganti taman orang-orang mewah.
Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
06/05/2014
10.50am.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment