Saturday, 10 May 2014

CERPEN: BAHASAKU.

"IN ENGLISH PLEASE"

"Maafkan saya. Memandangkan semua yang menghadiri mesyuarat syarikat hari ini adalah orang dalam negara dan tiada seorang pun orang dari luar negara, rasanya bersesuaian jika saya menggunakan bahasa Malaysia sahaja sebagai bahasa rasmi negara kita dalam pembentangan usul saya. Ada sesiapa di sini yang tidak faham bahasa Malaysia kita?"

Begitulah prinsip aku ketika bertegang leher dengan pengerusi yang mempengerusikan mesyuarat syarikat tempat aku berkerja hari ini. Apakah salahnya jika aku berbahasa Malaysia kerana bagi aku bahasa Malaysia kita adalah bahasa yang indah. Ramai orang dari luar negara turut mahu mempelajari bahasa Malaysia inikan pula kita sendiri rakyat Malaysia. Malukah kita berbahasa Malaysia.

Kita pandang negara Jepun dalam hal ini. Rakyat negara Jepun rata-ratanya tidak pandai berbahasa Inggeris, jika ada yang pandai pun hanyalah berbahasa Inggeris pasar tapi kenapa mereka dapat menjadi rakyat negara yang pesat membangun. Dapat mewujudkan syarikat di serata dunia dengan hanya berbahasa Jepun. Malah pekerja-pekerja syarikat mereka digalakkan pula belajar bahasa Jepun untuk menyenangkan komunikasi antara pekerja dan juga majikan.

Oh ya! Namaku Majid. Penyelia kanan di syarikat penerbangan dalam negara, MASPUTRA MALAYSIA BHD. Syarikat yang boleh dikatakan besar juga. Syarikat MASPUTRA menjalankan operasi pengawalseliaan penerbangan dalam dan luar negara. Terkenal dengan gahnya dalam menjalankan operasi dengan cekap dan amanah. Kedudukan kewangan mantap bila semua operasi jualan di lapangan terbang seluruh negara di bawah seliaan syarikat. Pekerja-pekerjanya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan kaum dalam negara. Sabah, Sarawak dan seluruh semenanjung merangkumi kebanjiran pekerja dalam syarikat. Tiada pekerja dari luar negara di dalam lapangan negara. Cuma kalau ada pun adalah di bahagian pemegang yang memegang saham syarikat.

"Kenapa saya tidak dibenarkan berbahasa Malaysia di dalam mesyuarat ini" tanyaku kembali kepada pengerusi mesyuarat.

"Okey, you boleh teruskan pembentangan you dalam bahasa Malaysia tetapi selepas ini jumpa I dalam bilik I" balas Puan Rohayu si pengerusi mesyuarat dan pengurus besar operasi syarikat.

"Aduhai"

Bab 1 bersambung.


"YOU ARE TO MUCH MAJID" herdik puan Rohayu tatkala aku baru mahu melabuhkan punggungku di atas kerusi empuk berhadapan dengannya. Mahu aja aku hempuk kepalanya ketika itu. Tetapi memandangkan yang dia adalah bos aku ... terpaksalah aku pendamkan sahaja niat aku, diam seribu bahasa.

"You don't have any respect at all at me as your bos, how dare you talk back to me inside the meeting room like that, infront everybody?" menyinga wajah puan Rohayu ketika itu."Wah! Ini dah lebih puan. Jangan terlalu ikutkan emosi. Saya tahulah puan ini bos saya tapi jangan sampai saya hilang rasa hormat kepada puan" kataku mempertahankan diri. "Lagipun apa salah saya menggunakan bahasa Malaysia dalam mesyuarat tadi? Bahasa kita, bahasa saya dan juga bahasa puan. Saya sayang bahasa Malaysia kita. Kan ke bahasa Malaysia kita bahasa rasmi negara dan bahasa inggeris adalah bahasa wajib tahu sahaja. Lagi pula saya hanya berbahasa Malaysia ketika tiada bangsa asing di dalam bilik mesyuarat, rasanya tidak menjadi satu kesalahan pun" tambahku.

"I'm your bos, how dare you talk like that to me" bentak puan Rohayu lagi.

"Sudahlah puan. Berbahsa Malaysia sahajalah dengan saya. Bukan ada orang pun dengar apa yang puan cakapkan sekarang ini. Apa yang puan nak buktikan kepada saya dengan marah-marah dalam bahasa inggeris ini .... bahasa penjajah" kataku kepadanya.

"Oh! Awak bahasakan saya ya? How dare you" tengking puan Rohayu.

"Ha! Kan boleh tu berbahasa Malaysia. Lebih indah di telinga saya. Kalau puan nak marah saya sampai malam pun boleh kalau dengan bahasa Malaysia kita ini. Saya terima dengan senang hati dan menjadi halwa kepada telinga saya" kataku kembali.

"Awak masih lagi menyindir saya ... awak ingat sedikit kedudukan jawatan awak dalam syarikat ini. Saya ni orang atasan awak. Awak boleh di ambil tindakan tatatertib kerana sikap kurang ajar awak ini kepada saya" gertak puan Rohayu.

"Puan ... ," aku mula memperlahankan rentak suaraku. "Kalau saya salah maafkan saya puan ... tapi rasanya saya tidak bersalah di dalam perkara ini. Saya hanya mempertahankan maruah bahasa Malaysia kita ... sebagai rakyat Malaysia. Rasanya di dalam akta syarikat tidak ada menunjukkan kesalahan berbahasa Malaysia di dalamnya, kalau ada puan tolong tunjukkan kepada saya di mana perenggannya yang mengatakan ia adalah satu kesalahan" pintaku kepada puan Rohayu secara berhemah dalam menunjukkan hormatku kepada 'seorang' orang atasan.

Terdiam puan Rohayu dengan kata-kataku itu kerana dia tahu aku tidak melakukan kesalahan di dalam perkara yang sengaja ingin diperbesar-besarkan.

"Kalau tak ada apa-apa lagi saya minta izin keluar dahulu ya puan. Saya nak jalankan tugas yang diamanahkan kepada saya dari membuang masa syarikat akan apa yang tidak sepatutnya kita perdebatkan. Kan ke moto syarikat masa itu emas?" sambungku seraya mahu mengangkat punggungku dari kerusi empuk yang ingin aku hempuk sahaja tadi ke kepalanya.

"No, wait! Saya ada benda lagi ingin dibicarakan dengan awak" puan Rohayu kembali berkata-kata. "Tonight you free tak?" sambung katanya.

Aduhai, aduhai.

Bab kedua bersambung.


Aku dah mula tak sedap hati, tak sedap duduk malah tak sedap badan. Kerana memang aku dan semua pekerja di dalam syarikat MASPUTRA tahu benar dengan perangai puan Rohayu ini. Walaupun telah berusia dan berumahtangga puan Rohayu ini seorang yang galak(gatal le katakan). Wajahnya memang cantik dan yang pastinya tubuh puan Rohayu masih menawan mata yang memandang dan terlalu amat menggiurkan. Sementelah puan Rohayu amat suka pakai skirt yang tidak seberapa singkat dan tidak juga seberapa labuh bila ke pejabat.

Suami puan Rohayu berpangkat DATO' dan sering kali ke luar negara atas urusan kerja. Maka selalulah puan Rohayu kesepian tinggal di rumah. Puan Rohayu berusia 38 tahun dan suaminya si DATO' pula sudah menghampiri setengah abad. Usia perkahwinan mereka sudah masuk sepuluh tahun dan tiada dikurniakan cahaya mata oleh Allah. Hanya anak-anak saudara tempat mereka bergantung manja dan mencurahkan kasih sayang.

"Kenapa puan?" tanyaku pinta kepastian.

"I nak you datang rumah I malam ini. Kita makan-makan sambil bersembang dan I ada kerja 'KHAS' untuk I suruh you buat malam nanti" katanya selamba.

Aduh! Ini dah kes berat ni. Tak pernah aku lakukan kerja-kerja yang terkutuk sebegini selama hidupku yang sudah berumur 25 tahun. Aku bukannya seorang yang suka bersosial apatah lagi seorang kaki kelab ... jauh sekali. Aku dah mula membayangkan keadaan yang pastinya akan melemaskan aku sendiri.

"Malam ni ke puan? Aduhai! Penting sangat ke tugas yang puan nak saya lakukan itu sehingga terpaksa dilakukan di luar waktu pejabat, malam pula tu! Nanti apa pula kata dato', tak ke nanti dato' akan ... ," belum sempat aku habiskan perkataan puan Rohayu dah bangun menuju ke muka pintu sambil berkata "You jangan banyak cakap boleh tak? I dah kata datang rumah I malam ni jam 8.00 malam you datang sahajalah. Untuk makluman you malam ni dato' tak ada di rumah. You datang sahaja ok" lantas puan Rohayu meninggalkan aku di dalam pejabatnya berseorangan termangu-mangu kerana beliau harus bergegas ke bahagian jualan untuk melihat kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan subkontraktor.

Aduhai macam mana ni ya? ... .

Bab tiga juga bersambung.


Sampai sahaja di persimpangan kuartes KLIA menuju ke rumah puan Rohayu, aku semakin senak perut walaupun belum menjamah sebiji nasi kerana tak lalu hendak menelan memikirkan apakah yang akan terjadi malam ini nanti. Aku sengaja pakai set baju melayu lengkap dengan samping dan songkok untuk menunjukkan yang aku seorang warak agar puan Rohayu tidak terfikir untuk membuat sesuatu dan mengambil kesempatan ke atas aku. Tasbih aku biarkan berjuntai dari kocek atas baju melayuku sebagai syarat yang aku seorang yang berpegang kepada landasan agama. Waktu itu tepat jam lapan malam. Jauhnya rumahku di Desa Nilai tidak sampai 15 minit ke rumah puan Rohayu. Pintu pagar rumah puan Rohayu terbuka luas menerima kehadiranku bersama motosikal cabuk yang menjadi tungganganku setiap kali ke pejabat.

"Masuklah Majid" sapa puan Rohayu selepas menjawab salamku. "Wah! Sungguh kacak dan bergaya you ni. Siap berbaju melayu dan bersongkok. Tasbih di kocek bergantungan sekali. From masjid ke Majid?"

"Ya puan! Saya baru lepas bersolat di masjid tadi, terus ke sini kerana tidak mahu menghampakan jemputan puan" jawabku.

"Okey, like this. We have dinner first okey. My maid dah siapkan makanan yang sedap-sedap untuk kita menjamu selera cuma kita tunggu sekejap sahaja ya. Ada jemputan yang belum kesampaian. They said on the way already, i hope you don't mind waiting a little bit while" terang puan Rohayu.

"Tak apa puan, lagi ramai lagi bagus. Saya ingat kita berdua sahaja tadi. Mujurlah ... ," kataku perlahan.

"Apa you katakan tadi Majid? I tak berapa dengar"

"Tak ada apa puan, saya kata syukurlah" pantas aku menjawab.

Tak sampai berapa minit selepas itu terdengar ada orang memberi salam di muka pintu. Pantas puan Rohayu mendapatkan mereka dan memperkenalkan kepada aku.

"Majid perkenalkan ini anak-anak saudara I, Niki and Niko. They are from Seremban baru pulang dari oversea, father and mother dorang bermastautin di Belanda. Niki, Niko this is abang Majid from mama work place, say hello ok" jelas puan Rohayu kepada kami.

"Yo, bro whats up" Niko menghulurkan tangannya berjabat denganku. Aku sambut dengan hangat serta mengucapkan salam. Niko seorang budak lelaki yang rasanya baru belasan tahun umurnya. Pakaian mengalahkan artis rap barat siap berantai dan beranting-anting.

"Sorrylah ya bro Majid and mama. Tadi we alls 'kuar' jap jumpa geng thats why we are late" sambung Niki pula kakak kepada Niko yang juga rasanya belum sampai 20an. Seorang anak gadis yang tidak seperti seorang gadis. Pakaiannya macam jantan dah lebih kebaratan dari kemelayuan.

"Subahan-Allah. Inikah bangsaku? Inikah generasiku nanti? Apa nak jadi dengan bahasa Malaysiaku? Aduhai, bahasaku" gerutu kecilku.

Sebenarnya tujuan puan Rohayu menyuruh aku datang ke rumahnya malam itu adalah untuk memperkenalkan aku dengan anak-anak saudaranya dan meminta aku memberi tunjuk ajar kepada mereka bahasa Malaysia yang sebetul-betulnya. Dia pun dah tak tahu bagaimana mahu mengajar mereka kerana dia pun hanya pandai menggunakan bahasa Malaysia yang tunggang langgang.

Sekali lagi..."aduhai! BAHASAKU"

Tamat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
09/05/2014.

No comments:

Post a Comment