Tuesday, 17 September 2013

BERTEMU CINTA DI MUKABUKU

Tajuk: BERTEMU CINTA DI MUKABUKU.
Genre: Kolaborasi prosa berdialog.
Pengkarya: Nur Ain Azura dan Sazalee Sulaiman. 

Nur Ain Azura: Bertemu cinta di fb...ermmmm...

Sazalee Sulaiman: Mmm...alam maya...seribu misteri seribu satu kisah di dalamnya...tersorok segala cerita yang terselindung... 

"Salam petang Nur Ain Azura" 

Nur Ain Azura: Cinta alam maya, banyak rahsia yang tak terungkai. Mampukah bertahan? Hanya doa menjadi taruhan dan kesetiaan menjadi benteng bersama iman...  

"Salam petang juga abang Sazalee"

Sazalee Sulaiman: Cinta Adam dan Hawa...dari skrin pawagam ke layar maya banyak ceritanya, ramai pelakonnya dan juga ramai pengarahnya...cuma tersembunyi dari pandangan mata bila 'kotak pesanan' menjadi bilik hotel bertaraf 6 bintang... 

"Dah makan belum?"

Nur Ain Azura: Terdetik pertanyaan di minda, tatkala meragui si pencinta dari alam maya...adakah cintanya setia seperti kita? Atau lakonan terbaik semata. Kerana alam maya menyajikan berbagai cerita dan rupa. Dari si gadis sehingga pada yang berpunya, melakarkan wadah seharian lalu bercerita. Tapi tatkala akal melaksanakan tugas, menepis setiap bisikan jahat dengan tegas. Beristighfar di dalam hati. Seraya bibir perlahan mengungkap "andai ada jodoh, pasti kan bersama jua" Semoga setiap pasangan yang menemui cinta di alam maya, sentiasa berpaksikan kesetiaan, doa dan harapan.  

"Alhamdulillah abang, masih kenyang lagi sebab bersarapan lewat tadi. Abang dah makan ke?"

Sazalee Sulaiman: Segala pertanyaan mendambakan jawapan dan penyelesaian namun bertambahnya jawapan bertambahlah jua pertanyaan. Persoalannya mengapa?...mengapa perkara ini harus dan boleh berlaku. Adakah kerana ketidak setiaan?...ataupun adakah kerana kesunyian, kesepian? Bersarang di dada setelah sekian lama terpendam rasa...terluka dan diluka dan ada juga melukakan. 

Kesetiaan adalah perjuangan. Kasih sayang pula adalah keperluan. Terabai dan diabai akan menambahkan lagi ruang kekosongan dan berputiklah tunas cinta di hati yang mendambakannya.

"... abang dah makan dah. Kerja ke hari ini?"

Nur Ain Azura: Kesepian lantas terabai...kemanjaan yang didambakan tapi tidak kesampaian. Ibarat rumah terbakar, bermula dari sebatang mancis atau dari api yang kecil. Begitu juga sebuah perhubungan. Baik yang sah atau terlarang. Dari tegur sapa lantas gurauan mesra. Siapa sedar sayang mula bercambah, cinta mula berputik lalu rindu pun mula berakar; umbi. 

Tersenyum sendiri mengingati gurauan-gurauan yang berbaur ucapan kemesraan... Arggghhh!...siapa kita untuk menghukum kesetiaan sesiapapun...bertemu dan bercinta di alam maya pernah memberi derita, namun bertemu lalu bercinta di alam maya juga memberi sejuta erti bahagia...  

"Zura tak kerja hari ni abang. Balik hospital tadi, terus rehat je. Itu yang mengadap fb je ni"

Sazalee Sulaiman: "Amin...ada kebenarannya"

Selesai. 

No comments:

Post a Comment