koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Monday, 16 September 2013
NIKMAT YANG DIPINJAM
Kalau dulu rambut mengurai hitam berkilat
kini mula menipis berwarna putih
dulu juga mempunyai penglihatan yang cerah
bola mata yang indah alis yang lentik
tapi kini semuanya teraba-raba
bola mata yang bersinar kian pudar
alis yang lentik dah tinggal pendek.
Suatu waktu dulu bibir basah merah bak delima
kini pucat dan kering tidak bermaya
pagar mutiara sudah tidak kukuh lagi
runtuh satu persatu
mengunyah sudah tidak lumat sempurna
dulu kicauan burung di dahan tinggi jelas kedengaran
kini laungan di sebelah bahu pun tidak berpaling.
Seketika dulu langkah diatur teguh
meredah sungai hutan belantara
menggalas beban tidak tercungap
kini langkah di halaman tidak termampu
hendak berkebun bagai terputus nyawa
kalau dulu minda sentiasa segar berlegar
tanpa noktah
kini selangkah minda melangkah
pasti tertitik satu noktah.
Duhai senja yang menghampiri malam
syukur atas segala nikmat yang Engkau pinjamkan ini
syukur atas segala kehilangan ini
syukur hingga di saat ini Engkau masih teguh di hati.
Cahaya Laila
16 sept 2013
Klang, Selangor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment