koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Monday, 2 September 2013
PANTUN DESA
Bunga teratai mekar berkembang,
bunga markisa di perdu melati;
nyiur melambai sawah terbentang,
permainya desa mendamaikan hati.
Lidi disimpai oleh bonda,
terasa letih membersihkan lanar;
di anak sungai bermandi-manda,
airnya jernih belum tercemar.
Bulan puasa penuh berkat,
beduk dipukul di senja hening;
hidup di desa saling muafakat,
sama dipikul sama dijinjing.
Letih terasa lepas berkebun,
menuju telaga membawa gayung;
gadisnya desa bersopan santun,
adab dijaga agama dijunjung.
Pokok bidara di hujung tanjung,
ditanam serapat pokok delima;
kenduri-kendara riuh sekampung,
tanda muafakat berkerjasama.
Bunga melati baunya wangi,
bunga halia dibuat ulam;
muda dihormati tua disanjungi,
amalan mulia warisan silam.
Qalam Bertinta
Klang
02092013
1215
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment