koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Wednesday, 25 December 2013
PANTUN JENAKA BERSULAM
Burung bayan mati beragan,
kekasih dikawinkan dengan si helang;
usah dilayan segala angan,
nantinya makan hanyalah tulang.
Anak kambing bercermin mata,
berbaju kemeja penuh bergaya;
hidup dibimbing jujurnya kata,
bukan dimanja dengan tipu daya.
Asyik bersikat si ayam jantan,
hatinya berkenan si angsa dara;
hidup bermasyarakat jadikan amalan,
disenangi teman dan saudara mara.
Jenuh berkayuh si anak kera,
membawa lada menuju ke bandar;
hormati dan patuh rukun negara,
peraturan yang ada jangan dicabar.
Lembu jantan asyik mengurat,
kerbau betina dijelingnya sakan;
agama bekalan untuk akhirat,
perkara hina usah amalkan.
Qalam Bertinta
Klang
25122013
1317pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment