koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Friday, 25 January 2013
TERBUANG LALU
Panji tersandar mengadap jeti
bantai bertingkat di atas para
janji sekadar penyedap hati
sebagai pengikat rindu asmara.
Pantai Selangat sedia berpalang
titi tenggelam di laut dalam
andai tergugat setia terhalang
pasti karam merindu dendam.
Mentera tersurat di tempat bara
ubat seliuh tangan dan kaki
air mata pengubat lara
tempat terseduh runtunan hati.
Air halia berkeledak hama
rotan berbelang di hutan ara
bila bahagia tidak menjelma
bagaikan berenang di lautan sengsara.
Berkarat roda mengusung guri
kotak sarat merata menghadang
berat derita tanggung sendiri
tidak seberat mata memandang.
Tampi usang terletak laci
ikan keli berarus di titi
mimpi terbuang diolak benci
bagaikan tali diputus belati.
Kotak terperap geliga sakti
pala berduri dipancang alu
tidak kuharap bahagia sejati
bila diri terbuang lalu.
SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
23 Jan 2013
2.55 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment