Dewasa ini dapat kita lihat banyak perlanggaran tatabahasa dalam karya yang tercipta di media masa mahupun media maya semuanya beralasan bahawa perlanggaran tatabahasa ini dibenarkan atas alasan setiap pengkarya diberikan LICENTIA POETIKA(LP) untuk melanggar hukum tatabahasa.
Benarkah perkara ini?
Masalah LP ni telah diperdebatkan sejak berabad dahulu tetapi tiada kesimpulan tegas tentangnya. Jadi kita sebagai penggiat sastera dan bahasa harus mengambil rasional dalam perkara ini iaitu menjaganya sebaik yang mungkin. Saya terpanggil untuk membuat penyelidikan akan perkara ini dan tiada satu pun yang saya dapati penggunaan LP ini membenarkan perlanggaran tatabahasa sewenang-wenangnya.
Mari kita lihat hasil penyelidikan saya ini.
Apa itu LICENTIA POETICA?
Soalan:
Benarkah tatabahasa bahasa Melayu boleh diabaikan dalam penulisan lirik lagu dan puisi ? Berdasarkan pemerhatian saya, banyak pantun, syair dan gurindam lama yang salah tatabahasa. Begitu juga sajak-sajak daripada penulis mapan yang jelas salah penggunaan tatabahasa. Apatah lagi lirik lagu masa kini yang mengabaikan terus kesantunan bertatabahasa.
Jawapan:
DBP ada menerbitkan sebuah buku "Memahami Gaya Bahasa" oleh Rahman Shaari. Dalam buku tersebut penulisnya ada membincangkan tentang 'Hubungan Tatabahasa dengan Puisi' dan tentang 'Licentia Poetica'. Buku terbitan tahun 1993 boleh dirujuk di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Kuala Lumpur atau Wilayah dan Cawangan DBP. Sekian, terima kasih.
Penggunaan Tatabahasa dan Cara Menyampaikan Idea
Ulasan sajak oleh A. Halim Ali
Penyair dikatakan mempunyai lesen puitikanya (licentia poetica) dalam kerja seni. Oleh sebab itu, penyair memiliki keistimewaan daripada mematuhi rukun tatabahasa dalam menyampaikan idea dan pemikiran dalam bentuk bahasa yang estetik. Namun begitu menurut Nik Safiah Karim, meskipun penyair mempunyai kebebasan puitika, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar rukun tatabahasa. Perkara ini diakui oleh banyak penyair dan penyair percaya bahawa mereka tidak memiliki kebebasan mutlak terhadap penggunaan bahasa.
Pernyataan ini memberikan gambaran bahawa sajak haruslah dibina dengan gaya dan rukun bahasa yang betul dan bersesuaian. Sebagai tambahan, sajak juga bukan semata-mata muatan perasaan atau landskap hiasan bunga-bunga bahasa. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyajak tidak mudah terlepas daripada penyalahgunaan lesen puitika ini dalam berkarya. Hal ini boleh terjadi sekiranya penyajak dipengaruhi secara berlebihan dalam aspek penggunaan gaya bahasa, pelanggaran aspek tatabahasa yang keterlaluan dan sebenarnya tidak sukar untuk mengesan penyalahgunaan lesen puitika ini dalam sajak.
Dalam ulasan kali ini, dua aspek bahasa, iaitu rukun tatabahasa dan gaya denotatif diteliti bagi menunjukkan sejauh mana kepekaan para penyajak terhadap aspek tatabahasa dan cara menyampaikan maksud yang bersesuaian. Perhatikan sajak “Pusara Bahasa” oleh Nurul Farhana Ahmad Sukre. Judul sajak menampakkan unsur kematian yang disebut secara metafora. Walau bagaimanapun, apabila dihalusi, sajak ini pertanyaan yang bertujuan untuk mengejutkan “orang-orang Melayu” tentang nasib bahasanya. Rangkai kata yang mengandungi frasa pertanyaan perlu diletakkan tanda soal (?). Perhatikan rangkai kata “Adakah kita sedar sekarang” (b.1) yang tidak disertakan dengan tanda soal (?). Tanpa tanda ?, makna ia tidak memberikan kesan untuk “mengejutkan kesedaran”, malah dari sudut rukun tatabahasa ia salah.
Ulasan sajak ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011.
Ulasan-ulasan lainnya
Signifikannya, masyarakat akan didedahkan dengan kepelbagaian dan keragaman yang..adalah konvensi, pembaharuan dan penyimpangan di mana ia merupakan kebebasan imaginatif dan linguistik yang diberikan kepada penyair untuk menyimpang atau meninggalkan bentuk-bentuk atau aturan yang biasa digunakan.
Penyimpangan ini termasuklah dari segi sintaksis, tatabahasa, diksi , kebenaran sejarah, anakronisme dan bentuk yang dipercayai dapat memberikan kepuasan imaginatif dan kesan metrical.
Biasanya ia digunakan dengan kesedaran untuk memperkuatkan karya yang dihasilkan dan tidak digunakan secara sewenang-wenang tanpa mengukur daripada sudut keindahan. (Baldick, 1991:72, Abrams, 1990, Awang Azman 2003:36).
Kebebasan dibenarkan kepada penyair untuk memanfaatkan aspek bahasa bagi keperluan dalam pengucapan figuratif yang lebih berkesan, arkaik, rima dan sebagainya. Kebebasan ini bergantung kepada makna akhir yang diingini penyair tersebut (Cuddon, 1993).
Dalam konteks ini kebebasan bahasa dalam puisi lebih bebas daripada bentuk prosa lain tetapi berbeza dari zaman ke zaman dan tidak semua kebebasan itu dikategorikan sebagai licentia poetica (Graf, 1984:162).
Hal ini kerana ada kesilapan tatabahasa imaginative yang terlalu tidak terkawal, memaparkan kesilapan tatabahasa yang lemah dan buruk dan tidak berjaya memberikan kesan yang sempurna kepada khalayak tidak dianggap sebagai licentia poetica. Menurut Kemala, ada unsur-unsur tertentu dalam bahasa yang digunakan penyair seperti imej, lambang, personifikasi, nada, wawasan dan sebagainya yang perlu difahami.
Dalam penciptaan kreatif, seseorang pencipta mempunyai haknya untuk menggunakan poetical licence atau kebebasan puitiknya.
Dari sini akan tumbuh keaslian pengucapan antara satu pencipta dengan pencipta yang lain dan dengan begitu hasil kesenian atau mencetuskan kecerdasan dan seterusnya mengembangkan minda masyarakat tersebut dengan cara mempelbagaikan pendekatan dan kesannya kebijaksanaan khalayak dicetuskan dengan berkesan.
Catatan oleh Rosna Mohd. Khalid di dalam notanya tentang Puisi-Puisi Eksperimen: Kerelevanan dan Signifikannya Dalam Sajak Melayu Moden pada 11hb Jun 2013 pukul 5.30 pagi
TATABAHASA: KESALAHAN BAHASA YANG LAZIM
BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM
1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah
- disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul
- di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan
2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih
3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari
- rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada
- punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah
4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah
- semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul
- semua guru, segala alat, kebanyakan ahli
5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah
- beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul
- beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi
6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah
- paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul
- paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali
7 Menggandakan kata selepas saling
a) salah
- saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul
- saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan
8 Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)
9 Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah
- sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul
- sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan
10 Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah
- juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul
- jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah
Kita lihat kupasan tentang sajak KOMSAS ini:
"FRAGMEN SEBUAH KEHIDUPAN" SAJAK KOMSAS TINGKATAN 3 (LOST DIRECTION IN LIFE)
Maka seorang pujangga pun berkata,
"adalah dadah itu musuh utama negara
adalah dadah itu perosak jiwa
adalah dadah itu pembunuh semata-mata."
Hari ini,
angkara dadah telah mati seorang negarawan
angkara dadah telah mati seorang seniman
angkara dadah telah mati seorang olahragawan
angkara dadah telah mati seorang jutawan
angkara dadah telah mati seorang sasterawan
angkara dadah telah mati seorang ilmuwan
angkara dadah telah mati seorang wirawan.
Bertahun-tahun kau hidup meracuni manusia
kau tidak mengenal anak, bapak, ibu, saudara atau keluarga
kau racun dalam khayal yang tidak terduga
seperti tercatat dalam sejarah
jatuh kota Melaka dan musnah kota merdeka
oleh candu, marijuana, morfin, heroin atau apa-apa sahaja namamu
kaulah penghancur sebuah tamadun bangsa dan negara.
Tuhan,
bekalkan aku kudrat iman yang tulus
untuk melewati lorong hidup
yang penuh onak dan duri
juga gelombang di laut masa depan
dewasa mengejar cita-cita
tegar memburu negara jaya.
Sahabat segenerasiku,
rimba di depan kita masih luas terbentang
mari kita pilih jalan lurus ke syurga
bukan lorong hitam ke neraka.
Diksi
- Rangkap 1 dan 2 memelihara skema rima akhir "a", manakala 3 rangkap seterusnya ialah rima akhir bebas.
- Pelanggaran hukum tatabahasa (dibenarkan dalam karya kreatif): kata pemeri pada awal ayat baris 2-4 rangkap 1
- Sinkof (perkataan yang dilemahkan): kau (rangkap 3 sepatutnya dicantum dengan perkataan di hadapannya)
- Perulangan: adalah (rangkap 1), angkara dadah telah mati seorang... (rangkap 2)
- Perlambangan: lorong hidup, laut masa depan
Sinkope/ Sinkof/ Singkatan
Sinkope atau sinkof - menurut kamus DBP : "Pemendekan sesuatu kata dengan mengugurkan satu atau lebih huruf atau suku kata dari tengah kata-kata itu."
Sinkof adalah merupakan terma linguistik bagi menyatakan perkara di atas. Misalnya, perkataan 'ha' dalam 'sahaja' digugurkan, menjadi 'saja'. Ataupun huruf 'id' dalam 'tidak', menjadi 'tak'. Contoh penggunaannya dalam struktur ayat :
"Nape kau tak pergi sana tu?"
"Buat pa kau tak makan saja dia tu?"
"Kutemui dia dalam perjalanan ni."(Perkataan bertanda merah dan italic itu adalah sinkof)
Tentu kita perasan tentang perkara ini bukan? Dalam penulisan yang ingin lari dari laras bahasa yang penuh selalu menggunakannya. Atau mungkin juga disebabkan pengaruh dialek atau percakapan harian/tempatan. Dan kerap kali ianya dikesan di dalam penulisan terutama di dalam dialog dan sesekali melanggar naratif yang sepatutnya menggunakan ejaan yang penuh.
Sejauh mana pula penggunaan sinkof ini dibenarkan dalam penulisan karya anda (tidak menyentuh bahasa percakapan harian)? Perkara ini sering kali menjadi perdebatan sejak dari dahulu lagi. Tetapi rata-rata ahli bahasa dan penulis lama mengatakan bahawa sinkof ini hanya dibenarkan dalam dialog sahaja, dengan penggunaan yang paling minima. Dalam naratif, ianya tidak dibenarkan sama sekali. Kecuali dalam puisi, ia dibenarkan atas alasan lesen puitika - yakni untuk menimbulkan kesan dan impak kepada pembaca.
Insya-Allah sama-sama kita manfaatkan maklumat ini untuk kita tinjau dan intai garapan karya yang kita tukangi. Wassalam.
Kesimpulan:
Dari sini dapat kita membuat satu kesimpulan bahawa Licentia Poetica hanya dibenarkan di dalam pengguguran ayat(sinkope) bukan sewenang-wenangnya dilesenkan untuk melanggar tatabahasa dalam memberi nilai estetika di dalam sesebuah karya. Tatabahasa terutamanya penggunaan kata sendi dan tanda seperti komar, sengkang harus terjaga dan terbela jangan sampai tercela dan dianggap lemah dan buruk sehingga dianggap tidak berjaya memberikan kesan yang sempurna kepada khalayak. Sehingga tidak dianggap sebagai LICENTIA POETICA.
Marilah kita berkarya dengan sebebas-bebas berkarya tetapi dalam masa yang sama kita haruslah menjaga tatabahasa yang ada dalam hukum bahasa.
Selamat berkarya dan salam sastera senusantara.
No comments:
Post a Comment