Hari ini di tanggal 30hb Ogos 2013 genaplah sudah sebulan negara, khususnya warga sastera Malaysia terutamanya yang mengenali R Hamzah DUA di arena Mukabuku kehilangan seorang ahli sastera yang disayangi dan dihormati semua rakan-rakannya. Allahyarham R Hamzah DUA telah pulang kepada Maha Pencipta pada tanggal 30hb Julai 2013 dan dikebumikan di Sipitang Sabah pada petang 31 Julai 2013.
Berita pemergiannya yang secara tiba-tiba mengejutkan ramai sahabat dan teman-temannya. Ramai yang tidak percaya akan perkhabaran yang diterima kerana beberapa waktu sebelumnya ada di antara rakan-rakannya sempat berbual mesra di ruang maya.
Allahyarham terbabit dalam satu kemalangan jalan raya pada pagi 30hb Julai 2013 di Seremban, Negeri Sembilan dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Seremban pada malam itu juga.
"Kita kehilangan dia, kita pasti akan tercari-cari" kata Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah(BAHASA) Jasni Matlani. "Dua hari sebelum beliau kemalangan, saya sempat berbual dengannya. Beliau mengatakan dia tidak dapat balik lagi ke Sabah dan biarlah tugas mengulas cerpen diberikan kepada yang lebih muda"
Allahyarham R Hamzah DUA dalam kenangan:
Allahyarham R Hamzah DUA seorang yang sentiasa prihatin terhadap penulis muda. Sentiasa memberikan nasihat-nasihat tentang bagaimana seharusnya berkarya dan sentiasa mengingatkan penulis-penulis baru tentang hak cipta yang seharusnya mereka jaga agar karya mereka tidak menjadi mangsa plagiat. Dalam nasihat dan ulasan-ulasannya Allahyarham sentiasa positif dalam memberi dorongan dan tidak pernah melemahkan semangat penulis baru.
Allahyarham R Hamzah Dua lahir pada 2 Februari 1957 di Weston, Beaufort, Sabah dan mendirikan rumahtangga pada 1976. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah di Sabah sebelum berhijrah ke Semenanjung pada 1997 dan di akhir hayatnya menetap di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan. Alllahyarham R Hamzah Dua 56 tahun meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak berusia 30 hingga 18 tahun.
Sejarah pembabitan Allahyarham R Hamzah DUA di dalam bidang penulisan:
Allahyarham R Hamzah Dua juga berminat dalam melukis kartun dan komik sebelum menceburkan diri di dalam bidang penulisan. Allahyarham mula menulis pada 1971. Di peringkat awal penulisannya Allahyarham menghasilkan sajak dan cerpen yang tersiar di pelbagai penerbitan seperti akhbar dan majalah antaranya Sinar Usia, Balai Muhibbah, Mesra, Jejaka, Hiburan, Harian Ekspres dan Sabah Times. Hasil penulisan Allahyarham yang pelbagai genre turut tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tempatan di tanah air dan juga majalah hiburan di Singapura pada 1970an dan akhbar serta radio di Brunei Darussalam.
Menghasilkan lebih 20 novel kanak-kanak, remaja dan dewasa, 10 kumpulan cerpen perseorangan, tiga kumpulan puisi perseorangan dan sebuah kumpulan drama pentas diterbitkan pelbagai penerbitan. Puisi-puisi dan cerpennya turut termuat dalam pelbagai antologi yang diselenggarakan sendiri dan juga diselenggarakan bersama rakan penulis yang lainnya.
Antara kejayaan Allahyarham adalah memenangi sayembara puisi, cerpen, skrip drama pentas dan novel kanak-kanak. Ini termasuklah Hadiah Sastera Sabah dalam genre cerpen pada 1988/89,1990/1991 dan 1992/1993, genre puisi pada 1994/1995 dan1998/99, selain genre esei kritikan pada 1996/97.
Allahyarham turut menghasilkan novel remaja yang bertajuk Anak Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1992 dan Tragedi Lembah Danum (Cerdik Publications) pada 2003.
Ulasan teman-teman dan rakan seperjuangan Allahyarham R Hamzah DUA:
"Sabah kehilangan seorang penulis besar dia seorang yang bukan saja penulis,pelukis penulis skrip. Dia memang punya bakat besar," kata Dato' Dr Haji Janatan Kandok, Pengerusi Eksekutif Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES). "Saya rasa tidak ramai indvidu yang menguasai pelbagai bidang seni. Ia merupakan satu kehilangan besar dalam dunia sastera. Dia jadi pendorong kepada ramai penulis muda," kataya. "Beliau menjadi guru kepada ramai rakan" kata Janatan lagi. "Malah beliau turut membimbing saya di peringkat awal sewaktu mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada awal 1988"
Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin menyifatkan Allahyarham sebagai penghubung antara penulis Sabah dengan syarikat-syarikat penerbitan di Semenanjung. "Dia bukan saja penulis biasa, dia juga mentor kepada ramai penulis. Dia bukan saja rajin tetapi gigih," katanya. Beliau mengenang satu ketika, Allahyarham menyelesaikan novelnya sambil menulis dengan tangan. "Kita kehilangan satu lagi jambatan yang menjadi penghubung antara kita dengan penerbitan di Kuala Lumpur. Dia seorang yang banyak membantu penulis"
Sementara itu, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah,Nadin Haji Salleh berkata pemergian Allahyarham adalah kehilangan satu bintang sastera. "Beliau seorang penulis yang banyak mencurah bakti dalam sastera Sabah," katanya. "Selain itu, beliau seorang penulis yang akrab dengan DBP dan sering menghadiri program-program DBP sewaktu beliau berada di Sabah, juga beliau adalah seorang yang prolifik" kata Nadin lagi.
Rakan rapatnya Juri Durabi, masih terkejut dengan pemergian Allahyarham. Beliau adalah rakan rapatnya sewaktu mereka sama-sama masih membujang. "Dia orang pertama bimbing aku dalam dunia penulisan," kata Juri. "Jasanya tidak ternilai sampai sekarang, arwah mempunyai cara sendiri untuk membimbing penulis. Dia baca karya kita, berikan komen dan minta kita perbaiki," katanya.
Seorang lagi penulis, Sitti Rahmah G Ibrahim teringat usaha-usaha yang dilakukan oleh Alllahyarham dalam menaikkan karya dan nama rakan-rakannya. "Dia berusaha menaikkan kita," kata Sitti. Banyak karyanya terbit di Semenanjung adalah hasil dari usaha Allahyarham. "Beliau seorang yang suka membantu. Malah beliau sanggup datang ke rumah untuk mengambil karya kita. Allahyarham juga selalu berusaha membimbing kita"
Petikan-petikan yang dikongsi dari halaman mukabuku Allahyarham R Hamzah DUA:
Haryatie Hamzah
22hb Ogos
Bila sudah duk(duduk) sorg(seorang) Rindu ku dtg(datang) lg(lagi)....Ya Allah kau(Kau) kuat kn la semangat ku Ya Allah,sesungguhnya aq(aku) teramat amat rindu terhadapnya.........Al-fatihah buat arwah bapa tersayang...
14hb Ogos berhampiran Kampong Sipitang, Sabah
Tersangat merindui seseorang yg telah pergi jauh meninggalkn ku....Ya Allah moga kau(Kau) tempat kan ia ddlm(di dalam) golongan hamba2 yg ko(Kau) sayangi dan kau kasihi dan tempat kn lah ia besama org2 yg beriman...Aamin....Al-fatihah..
Nurul Idayu Hamzah
18hb Ogos
Al-fatihah...
17hb Ogos
Message facebook terakhir arwah kepada sy(saya) pd(pada) 7julai cuma satu iaitu tanda noktah (.). Apakah maksudnya pa? Kenapa sy(saya) br(baru) terperasan message ini? Ya Allah...
Yatie Klate
22hb Ogos berhampiran Damansara.
PUISI terbaharu Allahyarham R Hamzah Dua yang tersiar dan tidak sempat ditatapnya, meski telah diketahuinya akan penyiaran ini melalui makluman DS di FB. Saya telah berjanji untuk mengirimkan naskhah Dewan Sastera Ogos 2013 ini kepadanya, namun kini dia telah tiada. Al-fatihah.
Idan Radzi
18hb Ogos
Selalunya pagi minggu begini aku akan ketik FB Abg R Hamzah Dua.. yang rajin sinaraikan nama penyair yang karyanya tersiar di dada akhbar BH atau MM atau akhbar lain.
Selalunya setiap kalau aku menulis barang apa jua catatan di FB pasti akan beberapa ketika ad ketik SUKA dari Abg Hamzah.
Aku rasa berteman rapat dengan dunia penyairan; bila ada Penyair yang rapat dengan Dunia Maya .. rapat dengan minat bersama.
Kekinian aku lemah langkah, longlai ilham, kurang kudrat meniti dunia penyairan ini... siapa lagi segiat & seintim Allahyarham Abg Hamzah yang baru amat rapat denganku. Aku rindu.
Azridah Ps Abadi
16hb Ogos
Kemeriahan Hari Raya sudah beredar. Bukan jua masanya untuk merenung kesedihan masa lalu. Apa pun alasannya, perjuangan dan cita-cita mesti diteruskan. Kerja-kerja sastera perlu disiapkan. Pesanan terakhir Allahyarham R Hamzah Duamembelah ingatan. 'Tuhan, Berikan Aku Cinta' dan beberapa manuskrip masih menunggu untuk disudahkan. Semestinya esok, 17 Ogos, 2013 akan menghadiri Bengkel Lanjutan Penulisan Skrip bersama Finas. Tuan Jamil Mutalib dan AbgIcm Anna tentu sudah tiba di Sandakan. Tuhan, apa pun jalan yang aku lalui, permudahkanlah~
Allahyarham seorang penulis yang hebat. Seorang yang sentiasa komited dalam dunia sastera yang digelutinya dan seorang yang amat ramah dan tidak pula lokek ilmu yang ada pada dirinya. Status terakhir Allahyarham di Mukabuku menyatakan Allahyarham berura-ura untuk menulis sebuah cerpen, siap atau tidak atau sempat bermula atau tidak hanya Allah Yang Maha Mengetahui kerana seperti sebuah cerpen...kehidupan kita di atas kajang dunia amatlah singkat.
Al-Fatihah.
Biodata Allahyarham R. Hamzah Dua:
Dilahirkan di Beaufort, Sabah, Malaysia.
Mendapat pendidikan awal dan menengah di Sabah.
Berhijrah ke Semenanjung pada tahun 1997 dan menetap di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan.
Mula menulis pada awal tahun 1971. Menghasilkan pelbagai genre sastera, tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tempatan di tanah air, juga mendapat tempat di majalah hiburan di Singapura (tahun 1970-an) dan akhbar serta radio di Brunei Darussalam.
Setakat ini lebih 20 buah novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 10 buah kumpulan cerpen perseorangan, tiga buah kumpulan puisi perseorangan dan sebuah kumpulan drama pentas telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan.
Banyak puisi dan cerpennya turut termuat dalam pelbagai antologi bersama penulis-penulis lain.
Memenangi sayembara puisi, cerpen, skrip drama pentas dan novel kanak-kanak; juga Hadiah Sastera Sabah dalam genre cerpen (tahun 1988/89, 1990/91. 1992/93), novel remaja Anak Malaysia (DBP, 1992) dan Tragedi Lembah Danum (Cerdik Publications, 2003), puisi (tahun 1994/95, 1998/99) dan esei kritikan (tahun 1996/97).
Sumber: http://puisipenyair5negara.wordpress.com/2012/05/26/r-hamzah-dua-malaysia-puisi-buat-sahabat/
No comments:
Post a Comment