Monday, 3 March 2014

CERITA LAWAK SERAM: Satu Pergi Sepuluh Datang


Isnin datang Isnin pergi. Hari yang datang berganti-ganti tiada berhenti. Begitu juga dengan hari-hariku, silih berganti tiada terhenti. Sering datang dan sering juga pergi tak mampu aku halangi. Bersosial di ruang maya tetap aku ladeni kerana telah bersebati di dalam hati. Bertemu teman dan bergurau mesra, menambah eratkan talian persahabatan. Berkarya tetap aku teruskan selagi diizin Allah untuk aku terus berkarya menghibur hati teman-teman muka-buku.

Teman yang datang juga silih berganti. Permintaan persahabatan denganku semakin bertambah setiap hari. Baik perempuan atau lelaki. Baik dalam negara mahupun luar negara semakin bertambah permintaan persahabatan denganku. Aku terima dengan senang hati sekali walau tidak aku tahu apa tujuannya mereka ingin bersahabat dengan aku.

Ada yang jujur mahu bersahabat. Sering bertukar-tukar pendapat dalam apa sahaja karya dan 'status' yang aku buat. Mereka pasti melekat dan tertambat tidak mengumpat walaupun ada yang menyakat. Aku terima dengan hati yang rapat kerana itulah sahabat yang muafakat memberikan pendapat yang aku harapkan berkat mendatangnya bertingkat-tingkat. Namun begitu ada juga yang musibat di hati penuh muslihat datangnya ingin mengayat di hatiku yang gayat.

Pujuk dan rayu bercumbu dijadikan agenda mereka. Sampai ke bulu dadaku juga mereka mahu. Entah apa yang ada pada bulu dadaku pun aku tak tahu. Nak kata lebat tidaklah juga. Nak kata hebat, lagilah tak dekat. Jauh dari hakikat. Kerana bulu dadaku jarang-jarang tidak merapat. Sekali pandang aku sendiri pun meluat. Tapi itu yang mereka hambat. Sehingga ada yang dekat semakin mendekat hanya nak lihat gambar bulu dadaku yang bersawang tersagat karat. Putih uban pun dapat dilihat menandakan kudratku telah berkarat tidak sekuat dahulu dalam melayan sakat. 

Kalau dahulu dalam semalaman mampu aku lakukan sepuluh kali sehari/semalam tapi sekarang dua kali pun aku dah tak larat, kudratku tersekat lututku bergetar hebat. Sepuluh kali melompat aku dah rasa penat(melompat ya sahabat jangan meleret sangat) hihi. 
Sepuluh kali aku gayat termengah mukaku pucat. Itulah kudratku di saat uban mula berselirat di dadaku yang kelat. Itu yang menghairankan aku, apa yang mereka lihat yang aku tak lihat. Apa pendapat sahabat-sahabat.

Sebenarnya bukan itu yang aku nak ceritakan. Kisah lawak seram ini bermula sebegini. Semalam aku pergi kedai ubat nak membeli ubat ketuat yang melekat di kakiku yang tak larat. Rasanya selepas membeli ubat di kedai ubat yang aku rasa hebat sebab kedai itu sahaja yang masih melekat di pekan yang tak berapa hebat untuk pembeli mendekat kerana ada kedai ubat yang lagi hebat, ternama dan bernama sering menyakat. 

Aku dah buat seperti yang disuruh buat melalui penerangan yang diberikan penjual ubat. Basuh kaki dengan air panas selepas merendamkan seluruh kaki yang berketuat harus disapu ubat. Sebelum tidur aku nampak kesannya yang hebat. Ketuat yang melekat seakan menyusut dengan amat cepat. Di hatiku bersyukur yang amat. 

Tetapi kenapa pula pagi ini aku nampak macam dah tak hebat. Satu ketuat yang menyusut hebat malam tadi telah tumbuh sepuluh lagi ketuat yang lagi hebat. Dah macam kulit katak yang hebat, menggerutu pucat. Aduhai, sahabat! Sahabat ada tak pendapat bagaimana nak hilangkan ketuat? Aku rasa dah tak hebat ni. Aku takut melarat dan melekat pula di dadaku yang menjadi pujaan untuk dilihat.

Tolong ya sahabat. Itulah kisah lawak seram yang ingin aku kongsikan dengan sahabat. Jangan marah ya sahabat dan jangan meluat atau pun menyumpah seranah kerana seperti biasa... , 

"ADA AKU KISAH?"

Hi hi hi.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
03/03/14. 

No comments:

Post a Comment