Kenapalah sunyi sangat malam ini
seumpama selepas dilanggar garuda
menyingkap daerahku yang sunyi
hening suasana,
sunyi terasa,
bening kian menggila
hanyalah suara cengkerik berkerincing
semakin meruncing di jiwa
melagukan simfoni alam yang semakin menyinsing hiba
di waktu malam sepi gering berona
setelah bayuku bertiupan mati di muka
hanya sesekali berpuputan lembut
membelai pipi hatiku yang runsing berserabut jiwa.
Ahhh ... di mana budak-budak aku malam ini?
Di manakah minah-minah aku di malam sebegini?
Dan di manakah anaknda-anaknda dan adinda-adinda di ketika ini?
Mungkinkah terbungkang di dalam kamar ditutupkan jendela
atau memejamkan sahaja mata dan memekakkan telinga
membiarkan kerandut perut bergendang dan bertablakan musika
mengharapkan penyudah malam yang berbulankan gerhana
menunggu tabir malam disingkap birainya dengan kadar segera
agar dapat dicucuk kad bank mereka ... gaji dituai esoknya.
Ohhh ya! ... aku pun terlupa rupanya
yang esok mereka akan menuai hasil keringat yang tergendala
dan malam ini mereka mengikat perut sambil membuta
mengharapkan suria esoknya hilanglah gerhana
poket-poket kering dan gering di kantung saku mereka.
Dibutakan sahaja mata, telinga dan nafsunafsi perut mereka ... kasihan.
ss/spl/pm ... 25/6/2012.
No comments:
Post a Comment