Petang ini aku berlenggeng lagi
di hadapan tingkap terselak luas langsirnya
merenung jauh barang sejenak
menikmati keindahan, taman permainan
tempat anak-anakku
berkejar-kejaran
berlari kegirangan
bermain kegembiraan.
Seronok dapat kulihat
terpancar di hati dan wajah mereka
sambil mengejar sebiji bola bersama teman-temannya
lagak gaya seumpama Ronaldo
kalau tidak pun seperti Mehsud Ozil gerangannya
di dalam Euro 2012
medan pertembungan pemain-pemain bertaraf antarabangsa.
Sesekali aku lihat anak bongsuku tergolek di atas rumput
dibentes kakinya oleh teman sepermainan bolanya
namun bangkit semula dia mengejar kembali
bola yang terlepas dari kaki
tidak akan dibiarkan lama di kaki temannya pula
kerana semangat Tores bergegar di benak mindanya
berkejaranlah dia tanpa mengenal erti lelah di jiwa.
Dengan semangat juang yang berkobar di dada
dicurinya bola dengan liciknya
entah di mana datangnya semangat Rooney
dengan mudahnya, dia mencuri bola dengan selamba
terkebil temannya akan kelicikan kaki kecil berlipan bara
tidak percaya semangat juang ditunjukkan olehnya
tidak terkejar akan mereka
akan geleceknya
ketika itu menuju ke pintu gol teman seteru permainannya.
Dengan libasan maut lipan bara
dia melibas bola dengan derasnya
seumpama Gerard
yang merembat bola dengan kederasan maksima
bola meluncur laju menuju kesasaran tersedia
pintu gol yang memisahkan kejayaan yang ingin dicipta.
Namun sayang adat permainan
ada juga seteru yang berbisa
penjaga gol lawannya bukan sebarangan calang juga
semangat Peter Cheqs ditunjukkan pula
mendakap kemas
tidak terlepas
bola dari dakapan tangan emasnya.
Begitulah girangnya mereka
berlari-larian dan berkejar-kejaran
sehingga tak terasa masa menginjak lajunya
aku yang mengelamun memandang
teralpa dan terlupa
yang aku perlu bersedia
untuk bertugas pada malam harinya
bergegas pula aku seumpama seorang 'Manager'
di tepi padang kehilangan buku panduan pengurusan masa.
Ahh ... bahana Euro 2012
terbawa-bawa dalam lamunan minda
semua yang aku pandang membawa anganan bersahaja
lawak juga terasa di dalam dada
kiranya inilah demam yang sedang menggila.
ss/spl/pm ... 23/6/2012.
No comments:
Post a Comment