Saturday, 25 January 2014

Tajuk Cerpen: TAK PERLU BERMUKA-MUKA


Tak perlu bermuka-muka mengharap simpati dengan menjaja cerita pada orang yang tak tahu apa masalahnya. Tanya dulu pada diri kamu kenapa ini semua terjadi kerana pernah dahulu aku nyatakan dengan jelas bahawa aku ini suami orang tetapi engkau tetap merayu mahukan diriku dan sanggup buat apa sahaja untuk memiliki aku. Dan pernah juga aku beritahu aku tak mahu dirimu terkecewa kerana aku lebih suka menjadi diri aku sendiri bukannya apa yang kamu mahu aku menjadi.

Kerana panas baran dan kuatnya cemburu kamu dan suka bertindak terburu-buru itu sebabnya aku membuang kamu dari senarai kawanku. Itu dah kira bagus dari aku 'blok' diri kamu.

Dan kini aku mahu bertanya kepada dirimu, itukah yang kamu mahu dariku? Ok...haihai babye.


*****


Mentari bersinar di sudut pagi. Aku di bangku termenung bersendiri. Hanya sesekali unggas menyanyi dan sang mergastua leka menari, perutnya diisi. Di waktu pagi yang sunyi dan sepi. 

Kisah semalam tidak aku lupai. Dijaja hebat bagai tidak bersendi. Mereka yang tidak mengerti mencurahkan lagi minyak di api, maraknya sungguh menggunung tinggi; maraknya tidak terkawal lagi. Menjadi tompok merah di langitnya hati.

Sang pemuka berjaja tentang hati yang kononnya sepi. Sang pendengar membeli kata-kata yang dirinya sendiri tidak mengerti, tidak fahami. Namun kerana nafsu yang beraja di hati dan fitrah insani, ditambahnya cuka pada luka di langit hati. Dan tragedi mula memaku ngeri di hati pelakon berpakaian realiti. Tiada pelakon ganti yang membawa aksi lagak ngeri. Semuanya dilakonkan sendiri. Pengarahnya juga membawa watak sendiri.

Ini kisah cinta separuh hati di perjalanan singkat tiada persinggahan henti. Yang menggoda menjadi pemuka. Yang digoda menjadi mangsa aniaya. Cerita cinta dijaja kononnya si dianiaya adalah penganiaya yang sengaja memutuskan cinta tanpa sebab musababnya, kejam tingkah-caranya. Mari kita selusuri jalan ceritanya ini yang pastinya akan terkesan di hati.

Kisah bermula di halaman muka-buku. Tiada yang benar walau tidak semuanya palsu tetapi segelintirnya, memang boleh dikatakan palsu. Tiada yang benar melainkan palsu sepalsu-palsunya belaka. Kenapa begitu? Mungkin silapnya aku. Terlebih memberi perhatian tidak pula jemu datang bertamu di hatiku dalam meladeni tetamu yang sering bertamu di dalam karya-karyaku.

Dikatakan cinta di hati mula menderu kerana namaku membawa kembali kenangan kepada arwah kekasihnya yang telah lama pergi meninggalkannya di pusara waktu. Pergi selamanya bertemu Allah, Tuhan yang Satu. Kekasih hatinya yang sejati satu waktu dahulu. Pergi membawa hatinya berkubur di lahat berbatu.

Al-kisahnya dikatakan tulisanku seiras sungguh dengan cara arwah berkata-kata dan perhatian yang aku beri memang sama seperti arwah kekasihnya. Kerana sikap dan naluri seorang abang yang ada padaku membuat aku sering dan sentiasa memberi perhatian kepada adik-adikku di muka-buku ini. Itu yang membuat dia jatuh cinta kepada...aku. Sehingga sanggup dia merayu walau dia tahu yang aku sudah pun berpunya; beristeri, beranak dan bercucu. Walaupun dia yang akan terkecewa akhirnya. Dia tidak kisah kerana telah lali sering dikecewakan. Apalah sahaja seandainya terkecewa sekali lagi. Dia telah betah, itu katanya.

Memang telah menjadi adat di dalam rumahtangga pasti ada halangan dari isteri yang hak. Tidak mungkin akan menggizinkan suaminya berumahtangga satu lagi. Isteri mana yang sanggup membenarkan suaminya berpoligami seterusnya berkongsi kasih dengan perempuan lainnya. Isteri yang mana sanggup mengharungi suka-duka yang tidak tentu lagi diketahuinya di masa akan datang. Hendak pula memang telah terbukti walau tidak semua, poligami itu memang menyakitkan dari bahagia. Yang telah di pamerkan oleh pasangan-pasangan yang gagal mengharungi kehidupan berpoligami. Fobia di hati.

Dia tidak kira dan dia tidak kisah apa yang akan dan bakal terjadi. Baginya walau hanya sementara, walau hanya seketika itu sudah berbaloi untuknya. Janji dirinya dapat merasai nikmat bercinta yang dia rasa hanya aku yang mampu memberikan kepadanya. Kerana perwatakan dan tingkah-laku melalui penulisan membuat dia mampu mencongak diriku. Itu kata-katanya yang ada padaku yang tiada pada lain-lain jejaka di muka-buku. Perasan gak aku jadinya ketika itu.

Kerana kasihan dan kerana ingin menjaga hati aku tidak berkata apa-apa. Sudi tidak, tak sudi pun tidak. Kerana sudah menjadi adatnya lelaki; aku akui, bantal yang datang bergolek mana mampu aku menolaknya untuk dipeluk. Orang mengantuk disorongkan bantal. Kucing yang lapar, mana mampu menolak ikan yang dihidangkan.

"Tolonglah! Abang takut awak terluka je nanti...menaruh harapan yang tinggi pada suami orang, tak baik begitu"

"Abang jangan fikir sangat. Selagi saya sayang abang, saya tak kan terluka. Tapi...kalau dah terjatuh cinta, abang tak kan tahu. Itu janji saya pada abang"

"Mmm...abang nak awak beri peluang pada diri awak dan lelaki yang akan masuk meminang awak tu, ke jinjang pelamin. Itu je!...abang nak awak bahagia bukan menunggu abang bagai menunggu buah yang tak akan gugur"

"Ya abang! Kalau itu jodoh saya. Saya janji akan menerima dia sepenuh hati saya tapi tak salahkan kalau saya menaruh harapan pada abang?"

"Aduhai tolonglah! Tolonglah beri peluang pada diri awak. Bukalah pintu hati awak. Jangan ditutupkannya. Lelaki bukannya abang seorang, ramai lagi lelaki dalam dunia ini. Terutamanya lelaki yang akan masuk meminang awak tu"

Itulah permulaan bualan antara aku dengannya yang tetap berkeras mahukan diri aku. Aku tak tahu, aku tak nampak di mana keistimewaan aku yang digila-gilakannya. Aku tak nampak pun ciri-ciri lelaki idaman Malaya di dalam diri aku. Dan bila aku bertanya kenapa dia boleh jatuh hati kepadaku dan sampai terjatuh cinta, dia bercerita panjang lebar tentang kisah hidupnya kepada aku.

"Saya mula bercinta pada umor 20 tahun, masa tu saya study kat upm, nama dia sama dengan nama abg sebab tu sy tekejut bila saya baca 'profil' muka-buku abang"

"Kami becinta tak lama, bila balik cuti semesta, dia kemalangan dan meninggal dunia. Saya pengsan bila tahu hal ni, itu pun dah lambat. Jadi langsung tak dapat tengok dia dikebumikan"

"Sebab takut peristiwa tu berulang saya tak penah terima mana-mana lelaki sampai umor saya 28 tahun. Masa umur saya 27 tahun dahulu saya pernah ditunangkan atas kehendak keluarga tapi saya putuskan pertunangan itu sebab saya tak boleh terima lelaki lagi masa tu. Umur 28 tahun, saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia baik sangat dan kami hampir bernikah tetapi terputus juga bila tiba-tiba ada perempuan bertemu saya dan beritahu yang lelaki itu adalah suaminya. Sebab itu saya fobia dengan lelaki. Saya mula takut dengan lelaki, takut terluka lagi"

"Tetapi yang jadi hairannya ramai pula lelaki yang ingin mendekati saya. Selepas itu dalam keadaan masih 'FOBIA' lagi, saya berkawan dengan lelaki yang muda 2 tahun dari saya. Tapi sekejap sahaja bila kekasih dia datang dan merayu agar saya tidak menerima lelaki itu dalam hidup saya. Akhirnya saya beralah dan saya tinggalkan lelaki tersebut dan sekarang mereka sudah berumahtangga dan sudah ada anak pun mereka sekarang ini. Tinggallah saya seorang anak dara tua"

"Awal tahun hari tu ada seorang lelaki ni datang rumah jumpa keluarga saya untuk merisik. Adik beradik dan keluarga bersetuju kerana tidak mahu saya menjadi ANDARTU selama-lamanya. Sekarang saya dah tak kisah dengan gelaran itu. Umur pun dah mencecah 32 tahun, jadinya saya dah tak kisah berumahtangga ataupun tidak. Tentang perasaan ini saya dah kunci. Kalau ada jodoh adalah jodoh kami. Tetapi!...setelah berjumpa abang saya rasa berlainan sekali. Abang tidak serupa dengan mana-mana lelaki yang saja jumpa. Abang lebih mengingatkan saya kepada arwah dan kerana itu saya 'MENYUKAI' abang. 'Bengongkan' saya ni abang?"

"Kalau abang boleh katakan di sini, abang akan katakan awak tak bengong...tetapi abang akan katakan yang awak adalah seorang manusia(wanita) pasti mahukan yang terbaik dalam hidupnya. Itu normal. Awak ketakutan akan kisah silam yang banyak mematangkan diri awak dan membuat lebih berhati-hati dalam menerima perhubungan dengan mana-mana lelaki. Lagipun awak masih muda, baru 32."

"Seelok-eloknya beginilah, berikanlah diri awak tu peluang untuk mengecap bahagia. Sekurang-kurangnya itu hak awak untuk memiliki. Kebahagiaan harus dicari untuk diri kita sendiri tetapi...seandainya apa yang kita harapkan itu tidak menjadi terimalah ia dengan hati yang terbuka. Kerana kita hanya manusia. Hanya mampu merancang dan berusaha. Selebihnya kita serahkan kepada Allah yang Esa kerana Dia adalah yang sebaik-baiknya perancang. Bukan kita, manusia. Pasti di sebalik apa yang dirancangkan-Nya ada hikmah yang tersembunyi untuk kita manusia mencari dan terus mencari tanpa ada sifat berputus asa dan berprasangka buruk kepada Allah SWT. Itulah rukun iman yakni percaya kepada Qodak dan Qadar"

Dan setelah itu aku tidak tahu bagaimana aku boleh menerima dirimu tanpa menerima sepenuhnya. Aku lebih suka mendengar dan memberikan pandanganku dan nasihat agar engkau dapat mengecapi bahagia. Namun engkau masih mengharapkan aku. Masih ingin memiliki aku seolah-olahnya aku ini malaikat yang tercipta hanya untukmu. Cemburu jangan cerita aku sudah mula rimas dengan caramu.

Aku biarkan sahaja engkau bermain perasaanmu terhadap aku. Mungkin di situ kesilapan aku. Sehingga engkau naik kepala dan sudah pandai cemburu buta. Sehingga mana-mana komen dari wanita engkau curiga dan bertanya pelbagai soalan yang mula merimaskan aku. Engkau kata aku menduakan kamu dan memainkan perasaanmu. Yang aku hairan bila masanya aku terima engkau di dalam hidup aku. Dan bila aku katakan sebegitu engkau terus menghilangkan diri beberapa hari. Akaun tidak aktif setelah engkau ucapkan 'SELAMAT TINGGAL'. Jadinya salahkah aku untuk membuang engkau dari senarai teman muka-bukuku. Engkau yang ucapkan kalimah tersebut dan terus ghaib. Perlukah aku menyimpan lagi engkau sebagai temanku.

Dan kini engkau mencanang kepada semua orang tentang dirimu yang dilukai. Kononnya aku memutuskan perhubungan denganmu pada bulan Disember tempoh hari adalah tindakan kejam yakni sebulan sebelum hari ulang tahun kelahiran aku.

Ah! Persetankan semua itu. Kini aku harap engkau lebih matang di dalam usiamu. Carilah lelaki lain yang lebih sesuai untukmu bukannya aku yang boleh engkau tumpang berteduh di dalam payung kasih sayang dan seterusnya berumahtangga. Semoga engkau tidak dipayungi sifat panas baran dan cemburu yang keterlaluan yang akan hanya memudaratkan perhubunganmu nanti. Dan aku ucapkan juga kepadamu selamat tinggal dari senarai teman muka-buku untuk selama-lamanya kerana selepas ini aku tidak akan dapat engkau lihat lagi. Selamat berbahagia dan usah bermuka-muka lagi menjaja cerita tentang engkau dan aku dan ingatlah engkau yang mempermainkan perasaanmu sendiri bukannya aku. Kerana dari awal perkenalan lagi aku telah menyatakan dan engkau telah bersetuju. Aku bukan milik kamu, aku milik isteri dan anak cucuku. Selamat tinggal aku ucapkan.

Sekian.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
23/01/2014.

No comments:

Post a Comment