Tuesday, 21 January 2014

TEROMBA: ADAT MAKAN GAJI


Kalau sudah makan gaji
apa disuruh haruslah akur
jangan membentak usah merungut
jangan melawan usan meroyan
harus dilakukan mesti dilaksanakan.

Amanah terpikul di atas bahu
mahu tak mahu mesti dipangku
harus digalas janganlah culas
harus dibilas janganlah malas
mesti diturut bagai pak turut.

Bukan tokeh resminya kita
bukan kaya sombongnya dada
sudah kuli beradat kuli
sudah besi beradat kali.

Menarik rambut di dalam tepung
rambut tak putus di hujung tepung
jangan selerak di hujung muncung
jangan hidung berbara jamung.

Adat memijak di bumi nyata
jangan dipijak kepala bos kita
cukup bulan dapatkan gaji
beli beras belilah roti
anak bini sukalah hati
senyum simpul manis berganti.

Kok tidak dapur tak berasap
kok tidak perut tak sedap
kok tidak bil kan terperap
kok tidak kudis kan menjadi kurap
akan menyerap patinya kayap.

Kok tidak mulut kan senyap
kok tidak tidur kan tertiarap
kok tidak tidur berseorangan
bantal peluk jadi penyedap
jangan buat pasal weh!

Itu adat makannya gaji
itu adat seorangnya kuli
biar secupak jadi segantang
jangan penyepak jadi penerajang
tunduk kepala angguk kepala
bukan mendongak kitalah raja
sedar diri mana berdiri
kita hanya pemakan gaji.

Teromba ini mengundur diri.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
21/01/14.

No comments:

Post a Comment