Wednesday, 22 January 2014

CERPEN: SELAMAT PENGANTIN BARU


TULISAN: SAZALEE SULAIMAN
TARIKH: 22/01/2014.

"Abang, selamat pengantin baru"

"Terima kasih...ehh! Fuh, aku bermimpi. Kus semangat"

Di sini bermula cerita baru.

Malam tadi aku tidur tak basuh kaki. Pulang dari kerja terus tersandar di atas kerusi. Penat sungguh rasanya, tak tahu masa bila aku terlelap. Tv yang aku pasang bukannya aku yang tengok rupanya tv yang tengok aku. Fuh! Berpeluh dahi memikirkan mimpi tadi. Ngeri! Isteriku sendiri yang mengucapkan 'selamat pengantin baru' kepadaku sambil memegang parang di tangan. Kalau korang tak gerun ke?

Al-kisahnya aku sungguh penat malam tadi. Letih masih terasa. Setelah tiga hari dua malam aku bertugas tiada hentinya. Berhenti pun waktu rehat sahaja. Makan minum entah ke mana yang aku tahu kerja, kerja dan kerja. Selera hilang kerana letih. Itu sebabnya pulang dari kerja aku terus hilang dari dunia. Isteriku pun satu. Sanggup dibiarkan aku tidur tanpa bertukar baju. Mandi pun tidak. 

Tapi aku tidak menyalahkan isteriku dalam hal ini. Kerana dia tahu perangainya aku. Kalau dah letih tak mahu diganggu. Kalau diganggu ada yang kena sembur olehku. Itu sebabnya dia biarkan aku begitu.

Oh ya! Namaku Leman a.k.a Leman pak pacak kerana tugasku sebagai pak pacak di syarikat kawalan terkemuka di tanah air. Kerja sebagai pengawal keselamatan yang terpacak menjaga bangunan asrama syarikat penerbangan. Nama isteriku pula Su a.k.a Suriati Binti Selamat. Anak-anakku ada tiga iaitu Yun, Amin dan Udin. Semuanya dah besar-besar belaka. Dah boleh berdikari kerana mereka suka makan mi kari.

Ini kisahku. Pembukaan cerita ini memang aku tulis sebegitu untuk menggambarkan fantasi dan mimpi yang terkadang tersisip di alam realiti. Kerana di tempat kerjaku ada seorang janda yang amat suka menggoda, Jenab namanya. Cantik usahlah cerita, mengalahkan seniwati dahulukala. Filem hitam putih tu. Tapi Jenab suka pakai bedak muka bukan bedak sejuk. Selalu wangi...wangi bedaklah katakan.

Mmm...panjang lebar mukadimahku ini. Jom kita sambung cerita.

"Abang mimpi apa tadi?" tanya isteriku membuka cerita di pagi kebasahan peluh di dahiku. "Sayang tengok macam kena kejar dengan hantu je. Berpeluh-peluh dahi ni. Itulah! Orang selalu pesan kat abang jangan terus tidur dengan tak bersihkan badan dahulu. Ini balik-balik terus je terbungkang hilang entah ke mana. Tv pun tak bertutup. Karang orang tegur pasti abang akan mengamuk" Panjang pulak syarahan isteriku pagi-pagi buta ni. Aduhai karang ada yang kena penyepak baru tahu.

Aku diamkan sahaja. Malas nak layan syarahan isteriku. Nanti karang teruk pula dia yang aku sembur. Panas baran aku memang gila. Ini pun tengah belajar mengawal panas baranku. "Kopi abang mana sayang?" tanyaku menukar topik cerita.

"Kok ya pun pi lah mandi dulu abang oi...ni celik mata je tanya kopi, mana nak berkat rezekinya" Aduhai aku lupa mandi rupa-rupanya. Inilah penangan kalau dah tua. Baju lupa nak buka. Mandi janganlah cerita, basuh muka pun tak lagi. Hihi...aku tergelak sendiri.

Selepas mandi aku pun duduk di meja. Kopi telah tersedia. Disertakan juga kuih ketayap yang aku suka. Masa bila isteriku buat pun aku tak tahu tapi sedapnya tidak terkira kerana air tangan isteriku memang tidak kucuriga. Sedap sentiasa. "...masih sayang isteriku kepadaku" kataku di dalam hati sambil menjamah kuih ketayap tadi.

"Abang mimpi apa tadi bang?" tanya isteriku selepas melabuhkan punggungnya di atas bangku mengadap aku yang masih membasahkan tekak dengan kopi yang pekat lagi likat, kegemaran aku. Nasib baik sempat aku kawal kalau tidak mahu tersembur ke mukanya dengan kopi yang masih bersisa di mulutku. "Tak mimpi apa pun. Abang dah lupa dah" kataku.

"Hai betul ke lupa atau abang buat-buat lupa. Tak kan tak bermimpi kot...sampai berpeluh dahi bila buka mata tadi? Ke!...abang tak nak bercerita" sambung isteriku.

"Betullah sayang, abang dah lupa. Mimpikan mainan tidur je. Tak perlu nak difikirkan sangat. Boleh jatuh syirik kalau kita mempercayai mimpi ni" kataku cuba menyelindungi mimpiku tadi yang masih jelas lagi di mindaku akan keenakan makan beradap dengan isteri baru si janda muda Jenab. Hihihi, aku mimpi bernikah dengan Jenab tadi. Ramainya tetamu yang datang ketika bersanding jangan dicerita macam pengantin bujang yang baru kali pertama kahwin lagaknya.

Dalam mimpiku aku diarak seluruh kampung oleh anak-anak buahku. Al-maklumlah orang kuat kompang seluruh kampunglah katakan. Tak adanya aku majlis kahwin dan berzanji tidak menjadi. Pendek cerita tiada aku tiadalah majlis. Ini pula majlis persandingan aku dengan si Jenab yang menjadi pujaan hati ramai jejaka baik yang baru akil baligh mahupun yang dah tua ganyut 'kubur kata mari, rumah kata pergi', bukan aku ya...aku masih remaja. Remaja purbakala. Hihihi.

Entah bila masuknya isteriku dalam mimpiku tadi pun aku tak tahu. Tiba-tiba je terpacak di hadapan mukaku ketika aku sibuk makan bersuap dengan si Jenab. Siap ucapkan selamat pulak tu. Yang jadi tak selamat bagiku...aku lihat di tangannya siap parang yang memang aku kenal sejak dahulu lagi; parangku sendiri. Nampaknya parang nak makan tuan tu. Mahu tak gerun. Yang si Jenab di sebelahku lain macam pulak. Lagi disuakan ke mulutku nasi yang disuapkan dengan tangannya bukannya sudu. Dahlah aku berpeluh lihat parang di tangan isteriku. Yang nak jadi 'best' lagi, mereka berdua siap senyum-senyum memandang satu sama lain. Macam berpakat je!

"Abang nak kahwin dengan si Jenab ke bang?" Nah!...tersembur kopi dari mulutku betul-betul kena muka isteriku bila dia menyapa sebegitu memotong lamunanku tentang mimpiku tadi.

"Aduhai! Apa yang sayang katakan tadi?" tanyaku meminta kepastian.

"Apalah abang ni! Habis basah orang tau" Bentak isteriku yang kebasahan kopi semburan dari mulutku tadi. "Orang tanya abang nak kahwin ke dengan Jenab si janda tu...kalau nak orang boleh masuk meminangkan" kata isteriku lagi.

Aduhai dah buang tebiat ke apa ni. Boleh pula lagu tu yang dikatakannya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi tidak...tidak mungkin ini berlaku. Manalah ada seorang isteri yang tiada angin tiada ribut boleh memberikan idea sebegitu. Nak pula bermadu dengan janda yang memang dahulunya dia berbulu. Aku mula curiga.

"Ni apa kes ni? Ribut tidak, angin pun tidak tiba-tiba je cerita pasal kahwin ni. Nak sangat ke dapat madu?" tanyaku jelas.

"Boleh juga, tiada salah kan?" kata isteriku lagi membuat aku bertambah curiga. Apalah maksud dia pagi-pagi ni berkata sebegitu. Aku mula mencongak mimpiku tadi. Ada ke aku tersebut nama si Jenab? Atau aku meracau masa tidur. Aduhai! Aku mula tak sedap hati.

"Saya bukan apa bang...kalau benar abang nak kahwin dengan Jenab, saya tak kisah. Saya boleh pi pinangkan untuk abang. Kalau itu hajatnya abang" sambung kata-katanya. Aku dah terlopong mendengarnya. Terkejut dengan kata-kata yang terkeluar dari mulut isteriku tadi.

"Jenab! Meh sini" sambung isteriku sambil memandang ke pintu bilik rumahku. "Tok sah malu-malu, ni abang Leman dah ada kat depan ni" Dah, sudah. Ni apa kes ni? Bila masa pulak si Jenab boleh ada dalam bilikku. Dan bila masa pula isteriku kenal dengan Jenab si janda pujaan kalbu semua insan yang bernama lelaki. Aduhai! Sekali lagi aku tersembur kopi dari mulutku. Cuma kali ini tak kena isteriku kerana dia sudah beralih ke sisiku.

Jenab pun keluar dengan muka yang malu-malu dari bilikku. Perlahan jalannya sambil melenggang 'malu tapi mahu' kata orang tu. Dan berdiri betul-betul di hadapanku yang masih terduduk tidak percaya.

"Kenapa berdiri sahaja, marilah duduk di sebelah abang ni" seru isteriku kepada si Jenab. Dah....dah buang tebiat ke isteriku ini. Aduhai aku semakin tidak mengerti.

Yang jadi tak sedapnya, masa Jenab berjalan nak duduk di sebelah aku dia tersepak sesuatu di lantai dan jatuh betul-betul ke ribaan aku. Mengelupur aku. Isteriku selamba saja malah tersenyum pula. Dan dia pun berkata; "Dah alang-alang tu duduk ajalah kat atas riba abang tu, barulah romantis" gitu pulak katanya. Aku bagai tidak percaya apa yang terjadi pagi itu. Dah macam cerita seram pula di pagi hari. Aduhai! Memang tak masuk dek akal yang masih waras. Si Jenab apa lagi...makin diperkemaskan duduknya di pangkuan aku. Aku tersentak dan bingkas bangun dari dudukku seraya membuka buah silat yang sumbang lagaknya. Dan ketika aku memandang sekeliling aku ketika itu suasana sudah pun berubah. Si jenab sudah tiada di pandangan mataku yang ada cuma isteri dan anak-anakku yang kepelikan memandang aku yang masih lagi berpakaian seragam kerja belum mandi sedang berpencak silat. Berpeluh-peluh di dahi berjejeran hingga ke kaki.

Anak-anakku segera menangkap aku dan mematikan pergerakan silatku. Ada yang memegang kaki dan ada yang memeluk tubuhku dan seorang lagi terkumat-kamit mulutnya menjampi serapah aku. Air direnjis ke muka aku dan semangat pahlawan tadi mula menyurut dari belikat pahlawanku. Aduhai! Rupa-rupanya aku bermimpi di dalam mimpi tadi. Punyalah 'real' mimpiku. Fuh! Tak percaya aku. 

"Selamat pengantin baru ya. Bagi mereka yang rasa terkena dengan aku, maafkanlah aku, seorang insan berhati kerdil bertubuh gempal hihihi" 

Tamat Sudah.

'Moral of story': Kalau nak tidur tu bersihkan badan dahulu jangan main terkam je mana yang sempat. Apalagi berwuduk langsung tak lekat kat badan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
22/01/2014.

No comments:

Post a Comment