Wednesday, 18 July 2012

MALAM INI AKU INGIN BEREHAT


Malam ini aku ingin berehat
ditemani dingin yang menyengat
berpayung langit yang likat
berlambayungkan gelap yang semakin pekat
merasai kehidupan sang merempat
berlenggeng di kolong yang hanyir, hamisnya menjerat
meresahkan hidungku yang tidak tersumbat
baru seminit - langit malamku, kurasakan ligat
berpusing paksinya sungguh hebat
dan akhirnya terjelepok aku di dalam lumpur pekat bagaikan pengat
apa yang terjadi kemudiannya - satu pun aku tak ingat
tersedar sahaja aku diperambat
oleh penguatkuasa dengan cota berbirat
berdarah di kepala jatuhnya tidak tersekat
tersembam diriku semula jatuhnya sungguh dahsyat
beginilah kehidupan gelandangan-gelandangan yang merempat
sentiasa diperambat
dicerca, dicaci dan diludah oleh mereka yang mempunyai kudrat
seumpama anjing, diri mereka dihambat
langsung tiada ihsan oleh mereka yang kononnya kuat
kuasa di tangan, sesuka hatinya apa yang hendak ... mereka buat
melanggar iradat, khianat
dan hukum sesama manusia dalam nasihat bernasihat
dilanggar ingat tak ingat.

Ahh! ... di manakah lagi tempatnya - untukku berehat?

ss/spl/pm ... 17/7/2012.

No comments:

Post a Comment