Saturday, 30 August 2014

PETANG AMBANG MERDEKA


Tahukah kamu
wahai anak-anak selepas merdeka
apa yang dilakukan ketika ini
di petang ambang kemerdekaan limapuluhtujuh tahun dahulu
oleh pejuang-pejuang kemerdekaan
oleh rakyat terdahulu yang bermati-matian
bertungkus lumus dalam esak penuh kesyukuran
dengan mata yang berkaca
pertama kali dalam hidup mereka
menyambut merdeka.

Tahukah kamu
tiada kata yang terzahir dari mulut ketika itu
tiada bicara yang mampu menggambarkan saat itu
perasaan gembira berlinangan air mata di kalbu
hanya laungan
'MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA'
kian bergema.

Ya! ... mereka bersahut-sahutan
saling balas membalas
berlari-larian bagai meraikan pesta
berlarian dari hujung kampung hingga ke kota
dengan sebutan yang tak lekang dari lidah mereka
Tanah Melayu merdeka.

Tahukah kamu di hati mereka ketika itu?
Tahukah kamu apa maknanya merdeka bagi mereka itu?

Bagi mereka
Tanah Melayu tanah berkeramat
Tanah Melayu tanah bertuah
Tanah Melayu saksi tumpahnya darah mereka
Tanah Melayu punya daulat Sultan dan Raja
Tanah Melayu disambut dengan gema laungan
MERDEKA.

Adakah sama di hati kita saat ini?

... marilah kita lahirkan gema suara
bersatu gema suara mereka
kerana di sini lahirnya sebuah cinta
cinta kepada Malaysia ... ,

'MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA'

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/08/2014.

No comments:

Post a Comment