Warna apa pelita hati
sedangkan jamung di tangan semakin menyepi
apinya semakin malap menghampiri mati
membawa gelap di dermaga sunyi.
Birukah, hijaukah, merahkah
atau ketiga-tiganya sekali
bercampur aduk menjadi pelangi
beroleng ditiup sang bayu pagi.
Sesekali api marak kembali
hangatnya semakin memanaskan hati
dan di dinihari ini
peluh merembes, membasahi; dahi.
Namun jamung kian menyepi
apinya terus lenyap tidak membakar lagi
kedinginan semakin melengkari
menggigit tulang yang kian beremosi.
Ahhh! ... kelip-kelip pula terbang di sisi
mahu mengganti jamung yang kematian api
mungkinkah ia tidak sedari
api di badannya bukan api sejati.
Kasihan sekali.
ss/spl/pm ... 08/04/2013.
No comments:
Post a Comment