koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Friday, 29 November 2013
TANAH HAKIKAT
Di tanah ini kita menumpang bernafas
menghela kudrat dalam memaknai hidup
dengan suara hanya seorang manusia pinggiran
cuba melaungkan ke dada langit tentang kehidupan
yang menagih bukan sedikit pengorbanan
untuk membentuk sahsiah diri dalam aturan hakikat.
Perjalanan ini tidak panjang seperti yang disangka
pun dalam mengejar usia yang sering terikat dengan waktu
syariat kehidupan usah bertempiaran di tendang nafsu
hidup ini punya tunjang untuk dijunjung
dan punya paksi untuk kukuh menancap iman
lalu gerangan apakah hinggakan engkau terlupa tentang ikrarmu
lantas membesit dosa dalam laluan menuju ke perhentianmu
sedang kesal engkau injak dengan kaki sombong
terbenam di petala tujuh dada ingkar.
Tanah ini tanah hakikat
punya syariat yang terikat
pun punya nafas yang bersambung zuriat.
Qalam Bertinta
Klang
29112013
1031am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment