Saturday, 12 July 2014

GAZA HANYALAH ANAK-ANAK TANGGA


Hati terkadang mati
kerana itu hati dikaburi jasad
tidak bermata, buta
tidak dapat melihat untuk merasai
teraba-raba dan tidak akan terjumpa
kesedihan dan kedukaan
walaupun jelas dihamparkan
dalam tinta berdarah
karya bertangga.

Hati terkadang sengaja dibutakan
bukan tidak peka
tetapi tidak rela bersama, merasai
kesedihan dan kedukaan orang lain
selain darinya
kerana pada hati itu
hanya aras keasyikan dan kelekaan
di dalam melodi cinta mendayu kalbu
itulah puncak impian.

Letaklah segunung paparan
letaklah selaut gambaran
jika hati itu sudah mati
hanya menurut mata yang memang sudah buta
dan dikaburi pula cinta kepada dirinya sendiri
hati itu tidak akan pernah insaf
hati itu tidak akan dapat pernah bersama
dalam merasai kesedihan insan lain
yang dirundung petaka bertangga.

Baginya ... Gaza sekadar tempat melepaskan batuk.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/07/2014.

No comments:

Post a Comment