koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Saturday, 18 January 2014
PROSA: KASIH TEGUH DALAM JAMBANGAN
Kenangan mengusik jiwa dibuai rasa menyentuh raga. Tatkala radio aku tala, berkumandanglah lagu kenangan lama. Lagu dari filem remaja, Ali Setan tajuk kisahnya. Membawa kembali ke waktu dahulu, berjanji temu di hujung minggu.
Lebih duapuluh tahun lamanya, masih segar dalam ingatan jiwa. Setiap kali bertentang mata, lidah kelu hilang bicara. Segala suka, duka dan lara terpahat indah di atas jemala.
Kenangan aku bersama arwah isteriku, memadu kasih janji dipadu.
Panggung Rex menjadi saksinya, jalan Petaling di situ tempatnya. Tempat aku melepakkan diriku, setelah penat memeluk asaku. Melakar janji kasih sejati, sebelum sah menjadi isteri.
Sungguh indah di saat itu, waktu berlalu tidak menyedarkan aku.
Kerana kasih menemukan aku dengannya, kerana kasih juga memisahkan aku dengan dirinya. Hilang di dunia hilang di mata. Berkalang jasad, terkujurnya dia di pusara untuk selama-lamanya. Melahirkan zuriat penyambung kasihnya.
Kini semuanya tinggal kenangan, hanya nisan meninggalkan pesan. Kenangan ini tak akan aku kuburkan, akan selalu terpahat dalam ingatan. Selagi lagu masih berkumandangan, selagi kasih teguh dalam jambangan.
Tersenyum aku dalam pembaringan. Tidak terasa air mata jatuh berlinangan. Bila lagu, hilang dari pendengaran.
Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
18/01/14.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment