koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Friday, 25 April 2014
BERTUNAS DAHULU SEBELUM MENJADI POKOK
Aku suka menggagau
dalam memerhati alam sekeliling
dari sekecil daun gugur
di atas tanah mereput
dan hanyut
apabila hujan menjemput
sehingga ke tingginya pokok
tersergam agam
mencecah awan tinggi melangut
asalnya
hanya dari tunas bak semut.
Aku perhatikan
betapa sanggupnya pokok
berpanas-berhujan
berlapuk-berhabuk
berdebu bawaan angin
melekat di daunan rimbun
mula mengering
bertahan agar kewujudan
tetap terpampang di mata
tanpa keluh-kesahnya.
Perlahan-lahan merangkak besar
dari tunas sekecil semut, tadi
membesar menjadi balak tinggi
berbakti
kepada manusia yang mengingini
rakus meregut
bila pokok dirasakan patut
sebesar dua pemeluk
dihanyut
di muara Sungai Siput
untuk dijadikan perabut.
Nah! Tidakkah kamu faham lagi
apa yang cuba aku maksudkan
yang kiranya tadi aku hanya berlapik
memperkatakan tentang hidup
perlukan pengorbanan
belajar dari sekecil tunas
bersabar sehingga menjadi pokok
agam dibangga pungguk
keberhasilan bila sampai waktunya diperuntuk
menjadi guna kepada manusia, masyuk.
Bertapaklah satu persatu
agar wujudnya kamu dirasai seteru
bukan rakus berpeluru
deras menjahanamkan dirimu
tidak sempat bertamu
layu di kaki waktu
dimakan bubut beribu.
Bertunas dahulu sebelum menjadi pokok.
SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
25/04/2014
15.00pm.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment