Tuesday, 15 April 2014

AKU BUKAN SESIAPA


Aku hanya orang biasa
menulis hanya suka-suka
pada mulanya,
di alam maya aku bermula.

Menulis dari pengamatan mata
dari apa yang aku rasa
dan dari pengalaman aku selaminya,
berbicara alam juga buana.

Pelajaran aku tidak setinggi mana
setakat sijil sekolah menengah jatuhnya
tidaklah dapat aku berbangga
seolah-olah sarjana setinggi menara.

Dan kerana itu aku sedar diriku siapa
masakan pipit dapat terbang tinggi di angkasa
tiada setaraf enggang dan garuda
gagah mencakar cakerawala.

Menulis bukupun aku tiada
kalau adapun hanya antologi tersisip satu dua
karya-karya menumpang nama
tidak dipandang sarjana bernama dan ternama.

Ya! Aku sedar aku bukan sesiapa
namaku tidak ternama
bagai melukut di padi berhuma
tiada bermakna tiada berguna

sampai masanya lenyap dari mata dunia.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
15/04/2014
14.10.

No comments:

Post a Comment