koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Wednesday, 23 April 2014
RENUNGAN
"LANTAKLAH"
Lantaklah orang nak baca atau tidak karya-karya aku. Orang nak komen di dalamnya pun aku tak kisah. Dipuji karyaku satu anugerah kepadaku. Dikritik karyaku satu bonus juga kepadaku. Kerana dari kritikanlah kita dapat mengetahui kekurangan di dalam karya kita yang sememangnya kita sebagai seorang manusia ini memang banyak kekurangannya inikan pula dalam bidang penulisan. Dari situ kita belajar sesuatu yang baru.
Tetapi!
Bila tiba masanya akan kita terlihat rakan-rakan kita diikhtiraf penulisannya oleh majalah atau makalah ataupun akhbar yang ditulis pula nama-nama besar dan mapan di dalam penulisan, kita haruslah bersama-sama turut berasa bangga. Mengucapkan tahniah dan sama-sama berkongsi kegembiraannya bukan mencemuh dan menjatuhkan teman-teman penyair kita apatah lagi dengan mempersoalkan apakah dan di manakah asas kelayakan mereka sehingga diikhtiraf sampai sebegitu.
Dunia sastera kita; Malaysia terutamanya bukannya besar mana pun. Jika kita sesama kita leka dalam cemuh mencemuh dan asyik dalam saling jatuh menjatuhkan sesama kita tidak akan berkembang ke mana-manapun karya kita mahupun ke persada dunia. Akan terlingkuplah di bawah tudung saji(tempurung) tidak terpandang sesiapa. Tidak berkembang mutunya(akhlaknya).
Jadinya! Makanya! Marilah kita semua bersatu dan memajukan lagi penulisan karya kita dengan lebihkan lagi usaha untuk mempelajari sesuatu yang baru dari setiap kritikan yang diterima bukannya mencemuh.
Kritikan yang saya maksudkan adalah tentang mutu karya ya! Kritikan yang membina bukan yang menjahanamkan sesebuah karya.
Marilah kita sama-sama fikirkannya dalam renung, berenungan. Usahlah irihati dijadikan pegangan hidup kita.
Renung-renungkanlah.
Saya tamatkan renungan ini dengan sebuah karya yang saya karyakan dua hari lepas untuk kita renung jauh ke dalam setiap patah perkataan yang terbina di dalamnya. Semoga kita semua dapat keberkatan dan melipat-gandakan lagi usaha kita untuk mempertajamkan mutu karya kita.
BUSUK HATI ATAU BUSUK KETIAK?
Pandang orang penuh curiga
nampak orang bagai tak bermata
walau terbeliak hitam tiada
hanya putih bijinya berwarna
merah berona pelangi pun jingga.
Bila berkata tiada batasnya
secukup rasa secukup perisa
kesenangan orang berbulu di mata
tidak tahukah dia
kesenangan diterima, Allah yang merencana.
Mungkin cemburu penuh di hatinya
sehingga dia terlupa
setiap orang ada rezekinya mereka
dahulu mungkin rezeki di tangannya
sampai ketika rezeki berganti tangan pula.
Bersyukurlah kita kepada Yang Esa
yang Maha Perencana lagi Maha Berkuasa
mungkin hari ini rezeki tiada
siapa tahu,
mungkin esok rezeki kembali ke riba.
Biarlah masam dibawa peluh menggila
hasil usaha mengalir dari dada
jangan sengketa dibuat rencana, beragenda
berbaiklah sangka sesama manusia
itu yang semolek-moleknya.
Biarlah busuk di bawah ketiak kita
jangan pula busuk, terhidu dari hati kita.
SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
23/04/2014
11.10 am.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment