koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Monday, 22 September 2014
SYAIR DI BANGKU MALAS
Kelopak suria sukar dibuka
pancar cahaya delima warna
di dada langit temaram rona
pagi dunia dingin menyapa
belikat basi semakin lesi
air mengalir bagai bersalji
cecah jari menggigil sendi
basah ubun menari kaki
langkahan malas terkulai layu
berat menghayun dipalangi kayu
wajah yang sembam dioles bayu
kian mendayu bantal merayu
ngantuk semalam mata menidak
tercegat lama dalam bercelak
fikiran runsing membuka selak
silau menerpa seluruh pundak
di bangku malas aku bersyair
di meja culas lendir mengalir
berdentum bunyi bagaikan petir
bos menyapa mata terjelir
bingkas berdiri memberi salam
telinga terluka ditaburi garam
bos menghulur manis mempelam
aku menjamah terasa masam
cahaya di langit mula menggigit
hati terbakar berbau hangit
bos berlalu selepas mencubit
kaki memijak tumit melecet
hilang di mata hilang di hati
mempelam dijamah laici mengganti
sekelibat bayang hilang di titi
muka tersembam mimpi beraksi
bagaikan masuk di telinga kanan
telinga kiri tidaknya hairan
berlegar-legar tidak kesampaian
diludah kembali telinga kanan.
Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/09/2014.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment