Friday, 26 September 2014

SYAIR KUALA LUMPUR


Kuala Lumpur kota gemilang
mercu tanda negara terbilang
seluruh dunia mata bak helang
terpamer emas di dalam dulang

Kuala Lumpur ibu negeri
cantik terhias tidak terperi
KLCC megah berdiri
wawasan dari mantan menteri

Kuala Lumpur punya sejarah
tinggalan oleh para penjarah
asalnya lombong bijih ditarah
menjadi kota rezeki terarah

Kuala Lumpur aku berbangga
sedari kecil menjadi warga
dahulu rumah kurang bertangga
sekarang rumah sayup dijaga

Kuala Lumpur semuanya ada
cakaplah sahaja mahunya minda
kesenian terpelihara seada-ada
sebagai warisan cicit ibunda

Kuala Lumpur semakin maju
negara wawasan terus dituju
kota impian para pemaju
kejayaan tercipta teras peneraju

Kuala Lumpur kadang menghambat
tulang-tulang malas geraknya lambat
setinggan sifar diburu sebat
negara dan rakyat sama-sama hebat

Kuala Lumpur ibu negeriku
jatuh, bangun dan kejayaan aku
tangis, ketawa - girangnya aku
kan tetap bersamamu Kuala Lumpurku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/09/2014.

No comments:

Post a Comment